Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat hartanah dilaporkan telah ‘dicutikan’ berkuat kuasa serta-merta selepas video yang memaparkannya memecat 900 pekerja tular di media sosial.
Memetik laporan portal Vice, perkara tersebut dimaklumkan oleh lembaga pengarah syarikat itu menerusi emel yang dihantar kepada pekerja pada Jumaat.
“Kami ingin memberikan kemas kini kepada pekerja susulan daripada peristiwa yang berlaku pada minggu lalu.
“Beliau akan mengambil cuti berkuat kuasa serta-merta. Lembaga pengarah juga telah menggunakan firma pihak ketiga bebas untuk melakukan penilaian mengenai ‘budaya dan kepimpinan’.
“Cadangan penilaian ini akan diambil kira untuk membina budaya mampan dan positif jangka panjang di syarikat ini,” kata mereka menerusi emel tersebut.
CEO itu menghadapi pelbagai kritikan dan kecaman selepas dia memecat 900 pekerjanya menerusi aplikasi perbualan video, Zoom minggu lalu.
“Jika anda menerima panggilan ini, anda adalah sebahagian daripada kumpulan malang yang diberhentikan,” katanya menerusi video itu.
Bagaimanapun, dia telah memohon maaf dan mengakui kesilapannya yang gagal menunjukkan rasa hormat dan penghargaan terhadap pekerja yang telah bertungkus lumus untuk syarikat itu.
Kesan daripada tindakannya itu juga memperlihatkan syarikatnya terpaksa menangguhkan penggabungan dengan syarikat pemerolehan tujuan khas atau SPAC.
Sumber: Vice