Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Beijing pada Jumaat mengecam tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap China dan 59 negara lain berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa, selain memberi amaran kepada Washington agar tidak mencetuskan perang perdagangan.
Memetik AFP, kadar tarif berkenaan adalah antara 10 hingga 12.5 peratus, dengan China dikenakan kadar tertinggi.
“Kami menentang segala bentuk langkah tarif unilateral.
“Perang tarif dan perang perdagangan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam sidang media pada Jumaat.
Tarif baharu itu menggantikan duti global yang diperkenalkan Presiden Donald Trump pada awal tahun ini dan bakal tamat tempoh.
Pentadbiran Trump bertindak pantas untuk membina semula dasar tarif presiden itu selepas Mahkamah Agung membatalkan beberapa duti yang dikenakannya pada Februari lalu, sekali gus menjejaskan keupayaannya mengenakan tarif tinggi sesuka hati.
Ketika mengumumkan tarif tersebut, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata Washington sedang menguatkuasakan larangan import melibatkan buruh paksa secara tegas dan sudah tiba masanya rakan dagang negara itu mengambil langkah sama.

Ekonomi yang telah melaksanakan larangan terhadap buruh paksa, termasuk Kanada, Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom, dikenakan kadar lebih rendah iaitu 10 peratus.
Rakan dagang utama lain, termasuk India dan Jepun, pula dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.
China dan AS yang terlibat dalam perang perdagangan yang semakin memuncak sepanjang tahun lalu, mencapai gencatan selepas Trump dan Presiden Xi Jinping bertemu pada Oktober lalu.
Selepas Trump melawat Beijing tahun ini, China berkata ia akan bekerjasama dengan AS untuk mengurangkan tarif.
Bagaimanapun, tarif terbaharu itu dikhuatiri mencetuskan semula ketegangan perdagangan.