Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dah Kenyang Tapi Rasa Nak Makan Lagi? Kenali “Food Noise” & Cara Atasinya

Athirah
Food Noise
Kredit: ImageFX

Dah Kenyang Tapi Rasa Nak Makan Lagi? Kenali “Food Noise” & Cara Atasinya

Pernah tak anda mengalami situasi di mana baru sahaja selesai makan tengah hari, tetapi hanya selepas 10 hingga 15 minit kemudian, perut mula terasa seperti “minta diisi” lagi?

Walaupun secara logiknya anda sudah makan dengan cukup, rasa lapar atau keinginan untuk mengunyah sesuatu masih muncul tanpa diduga.

Keadaan ini sebenarnya agak biasa berlaku dalam kalangan ramai orang, namun sering kali tidak disedari puncanya.

Justeru, SK hari ini akan menjelaskan fenomena di sebalik keadaan tersebut serta cara mengatasinya secara mudah dan berkesan.

Apa itu Food Noise?

Menurut Cleveland Clinic, ia adalah perasaan lapar yang berterusan. Anda mungkin sukar untuk berasa kenyang atau puas selepas makan.

Sebagai contoh, fikiran anda masih tertumpu kepada snek seterusnya atau hidangan yang akan diambil walaupun baru sahaja selesai makan.

“Ia adalah keadaan di mana fikiran sentiasa tertumpu kepada makanan

"Selain itu, keadaan ini juga boleh menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan dan akhirnya membawa kepada obesiti serta masalah kesihatan lain," ujar Pakar Endorkologi, Dr Reena Bose.

Apa yang menyebabkan "Food Noise"?

“Food noise” ialah satu kitaran yang sukar dihentikan, yang biasanya berlaku apabila anda membuat pilihan makanan yang kurang sihat seperti mengambil makanan ultra-proses.

Makanan jenis ini boleh menyebabkan rasa cepat lapar semula dan keinginan berterusan untuk makan, sekali gus menguatkan lagi kitaran “food noise”.

Jadi, apa yang boleh mencetuskan “food noise”? Isyarat dalaman seperti hormon lapar boleh membuatkan anda mula memikirkan tentang makanan.

Namun, isyarat luaran seperti bau atau melihat iklan makanan juga boleh mencetuskan keinginan untuk makan.

Mengapa ia menjadi masalah?

Difahamkan, ia boleh menyukarkan seseorang untuk mengekalkan berat badan yang sihat.

Menurut Dr. Bose, ia boleh menyebabkan seseorang berasa lapar sepanjang masa.

Apabila rasa kenyang sukar dicapai, individu cenderung untuk makan dalam jumlah yang lebih besar.

"Akibatnya, ia boleh membawa kepada obesiti. Keadaan ini juga berisiko menyebabkan apnea tidur, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi," jelas beliau lagi.

Cara menghentikan “Food Noise”

Dr. Bose berkata, kesan “food noise” sebenarnya boleh dikurangkan dalam kehidupan harian jika seseorang lebih peka terhadap gaya hidup dan tabiat pemakanan.

Fokus pada diet sihat

Pemakanan sihat, termasuk mengurangkan atau mengelakkan makanan diproses bermula dengan perancangan dan penyediaan makanan

Beliau mencadangkan agar menu mingguan dirancang lebih awal, diikuti dengan pembelian bahan masakan yang diperlukan.

Selain itu, menyediakan bahan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran lebih awal juga dapat memudahkan penyediaan makanan sihat.

Dalam masa yang sama, makanan ringan wajar disimpan di tempat yang kurang mudah dicapai bagi mengurangkan 'godaan'.

Makan dengan lebih berdisiplin

Menurut Dr. Bose, ramai individu mempunyai corak pemakanan yang tidak teratur, sama ada terlalu takut makan atau menunggu sehingga terlalu lapar.

Amalan makan mengikut waktu yang konsisten bukan sahaja membantu tubuh kekal bertenaga, malah menyokong tahap kesihatan dan kecergasan yang lebih baik.

Bersenam

Aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting dalam mengawal “food noise”.

Walaupun sesetengah individu mungkin mengalami kekangan seperti sakit sendi atau pergerakan terhad, usaha untuk membina dan mengekalkan jisim otot masih perlu diteruskan.

Kurangkan stres

Stres harian yang tidak terkawal boleh mendorong kepada pemilihan makanan yang tidak sihat.

“Apabila anda menghadapi banyak stres, ia menjadi sukar untuk menguruskan kehidupan secara sihat,” tambah beliau.

Kualiti tidur

Kualiti tidur juga tidak boleh diabaikan. Dr. Bose menekankan bahawa tidur yang tidak mencukupi boleh menyukarkan seseorang mengamalkan gaya hidup sihat.

“Apabila anda letih, anda cenderung memilih makanan diproses dan ultra-proses,” katanya.

Oleh itu, rutin tidur yang baik seperti mengurangkan penggunaan peranti elektronik sebelum tidur, bermeditasi, serta mengelakkan makan terlalu dekat dengan waktu tidur amat digalakkan bagi memastikan tidur yang lebih berkualiti.