“Dengan Berat Hati...” Nasi Kandar Apollo Tamat Operasi Selepas 10 Tahun Berkhidmat
Restoran Nasi Kandar Apollo di Jalan Reko yang menjadi antara destinasi popular penggemar nasi kandar sejak lebih 10 tahun lalu, kini mengumumkan penamatan operasi secara rasmi.
Dalam kenyataan, pihak pengurusan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pemilik tanah menjual tapak restoran kepada pemaju pada harga RM26 juta bagi projek pembangunan kondominium baharu.
Walaupun berat, pihak restoran akur dengan arus pembangunan yang semakin pesat.
“Selepas 10 tahun menabur bakti dan menyajikan aroma kari buat warga setempat, dengan berat hati kami terpaksa menamatkan operasi,” ujar kenyataan itu.
Restoran berkenaan sebelum ini dikenali sebagai lokasi tumpuan pelanggan setia kerana hidangan dan suasana santainya yang menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat setempat.
Pada masa sama, pihak restoran turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelanggan yang telah setia menyokong sejak hari pertama operasi.

