Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Detik Pilu Suami 'Tuntun' Isteri Pergi, Buat Ramai Sebak
Selepas ibu, isteri adalah antara insan paling istimewa dalam hidup seorang lelaki bergelar suami.
Dialah yang setia menemani saat lelaki itu belum punya apa-apa. Sama-sama mengharungi susah senang, membina keluarga, membesarkan anak-anak dan melalui segala liku kehidupan.
Sebab itu, tidak ada suami yang benar-benar bersedia apabila tiba hari dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada wanita yang selama ini menjadi teman hidupnya.
Baru-baru ini, satu video tular di media sosial menyentuh hati ramai.
Video itu memaparkan seorang suami sedang menemani isterinya yang dipercayai sedang menerima rawatan di sebuah hospital akibat kanser tahap akhir.
Si isteri kelihatan sangat lemah di atas katil hospital. Manakala si suami pula tidak berganjak walau seinci.
Dia menggenggam tangan isterinya, memandang wajah wanita yang dicintainya itu sambil perlahan-lahan membimbingnya supaya terus mengingati Allah SWT.
Tidak putus-putus dia berpesan supaya isterinya berzikir dan menyebut nama Allah.
Apa yang paling menyentuh hati ialah apabila si suami sempat memohon agar isterinya menghalalkan makan minumnya sepanjang mereka hidup bersama sebagai suami isteri.
Diucapkan dengan nada tenang, tetapi mungkin sebenarnya menyimpan seribu kepedihan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Bayangkan, di saat kebanyakan orang tidak sanggup menerima hakikat orang yang disayangi bakal pergi, lelaki ini memilih untuk menyempurnakan tanggungjawab terakhirnya sebagai seorang suami.
"Di saat orang yang paling kita sayang sedang dijemput pulang, jangan biarkan dia pergi tanpa diingatkan kepada Allah. Bimbinglah dengan kalimah tauhid, mohon saling memaafkan, halalkan makan minum, dan redhakan pemergiannya.
"Ramai yang takut untuk melakukannya kerana terlalu sayang. Sedangkan itulah antara tugas terakhir kita kepada insan yang paling kita cintai," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengaku sebak sebaik sahaja menonton video tersebut.
Tidak kurang juga yang menitipkan doa agar Allah SWT mengurniakan husnul khatimah kepada si isteri serta memberikan kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan.