Sedang semua orang menunaikan ibadah puasa, anggota tentera darat Malaysia pula berhempas pulas memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat dijaga. Ini dapat dilihat daripada kesungguhan mereka menyempurnakan jambatan untuk kegunaan orang awam.
Angkatan Tentera Malaysia sentiasa bersiap sedia dalam melaksanakan tugas yang diarahkan sebilang masa. Tidak kira masa dan ketika, kesiapsediaan ini menuntut komitmen jitu para warga ATM dalam melaksanakan tugas. Melalui pasukan 9 dan 11 Skuadran Rejimen Askar Jurutera Diraja, ATM telah diaturgerak ke Sg Beletir, Kg Sungai Putat, Jerantut Pahang bagi pembinaan jambatan sementara dalam keperluan memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk setempat di kawasan tersebut.

Bermula pada pagi 28 Apr 2021, Seramai 2 pegawai dan 49 anggota dari kedua-dua Skuadron RAJD tersebut telah memulakan proses menyiapkan Jambatan Compact Bailey 100 bermula dengan kerja-kerja menurunkan komponen jambatan ke tapak bina jambatan tersebut.

Jangkaan proses menyiapkan jambatan yang berukuran 22 Meter panjang dan 7 m lebar itu mengambil masa selama 3 hari untuk disiapkan, namun dengan komitmen, kepakaran dan usaha bersama skuadron RAJD ini, jambatan telah berjaya disiapkan berakhir jam 1 pagi 29 April 2021. Demi kesejahteraan masyarakat setempat, mereka berhempas pulas menyiapkan tugasan dalam masa satu hari sahaja.





Jambatan Sg Beletir sebelum ini mengalami hakisan dan tanah runtuh menyebabkan jambatan tidak dapat digunakan dan memerlukan pembinaan baru. Pembinaan jambatan ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kerja Raya dan Kerajaan Negeri Pahang serta perancangan awal oleh NADMA.