Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dr Fauziah, Wartawan Astro Awani & 7 Lagi Aktivis Malaysia Sah Ditahan
Satu lagi misi kemanusiaan ke Gaza melibatkan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dipintas oleh Israel.
Kapal misi itu juga membawa sembilan aktivis Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran dalam kapal Conscience dan Umm Said.
Susulan itu juga, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah mengeluarkan video SOS, menandakan bahawa aktivis itu telah ditahan.
Antara video yang telah dikongsikan ialah melibatkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, yang juga seorang doktor, Dr Fauziah Mohd Hasan dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
“Saya ialah peserta Break The Siege Freedom Flotilla ke Gaza, jika anda menonton video ini, ini bermakna saya telah ditahan oleh IOF, kami telah diserang di perairan antarabangsa dan kini telah dikenakan penahanan yang menyalahi undang-undang.
“Saya segera merayu kepada kerajaan Malaysia serta kerajaan dan institusi di seluruh dunia untuk mengambil tindakan segera untuk menjamin pembebasan kami, menjamin keselamatan kami dan memastikan kami pulang ke rumah dengan selamat,” kata mereka.
Selain Dr Fauziah dan Syafik, video SOS melibatkan peserta yang lain turut dikeluarkan iaitu Ketua Delegasi Malaysia, Prof Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Timbalan Ketua Delegasi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Maziah Mohammad.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar kesemua aktivis Malaysia segera dibebaskan.
Beliau juga turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini. Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Sumber: MyCARE