Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dr. Siti Hawa Cipta Rekod MBOR, Pesakit SMA Pertama Tamat Pengajian Berterusan Hingga PhD

MBOR
Kredit: Facebook UMPSA

Dr. Siti Hawa Cipta Rekod MBOR, Pesakit SMA Pertama Tamat Pengajian Berterusan Hingga PhD

Seorang alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Siti Hawa Apandi, 36, mencipta sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai "First 'SMA' Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University".

Pengiktirafan itu menjadikan beliau individu pertama di Malaysia yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) berjaya menamatkan pengajian secara berterusan bermula daripada diploma, ijazah sarjana muda, sarjana sehingga Doktor Falsafah (PhD) di universiti yang sama.

Kredit: Facebook UMPSA

Menerusi satu perkongsian di Facebook semalam, UMPSA berkata, majlis penyerahan pengiktirafan itu disempurnakan oleh wakil Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh di kediaman Dr. Siti Hawa di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan.

Menurut UMPSA, majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menyempurnakan simbolik pemakaian jubah konvokesyen kepada Dr. Siti Hawa sebagai penghargaan terhadap kegigihan serta kecemerlangan akademiknya.

Turut hadir Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, Ts. Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin, Pengarah Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF), Dr. Munira Abdul Razak serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit.

Menurut UMPSA, pengiktirafan tersebut bukan sekadar meraikan pencapaian akademik Dr. Siti Hawa, malah mengiktiraf semangat juangnya sebagai pesakit SMA yang berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat PhD walaupun berdepan cabaran fizikal.

Dr. Siti Hawa menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA), iaitu penyakit genetik yang menyebabkan otot semakin lemah secara progresif sehingga memerlukan penggunaan kerusi roda.

Namun di sebalik kejayaan itu, pengorbanan ibunya, Zaidah Tamjis, 63, menjadi antara faktor terbesar yang membantu beliau meneruskan pengajian.

Selama lebih sedekad, Zaidah menjadikan kolej kediaman UMPSA sebagai rumah keduanya selepas berpindah masuk bersama anaknya ketika Dr. Siti Hawa memulakan pengajian diploma pada tahun 2007.

Beliau terus setia menemani anaknya sepanjang pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD.

Dr. Siti Hawa menamatkan pengajian Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2016 sebelum berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menghadiri Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 bagi menyarungkan jubah PhD kerana sedang menerima rawatan rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru.

Anugerah berkenaan kemudian diterima oleh kedua-dua ibu bapanya daripada Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada Dr. Siti Hawa dan keluarganya, malah turut mengharumkan nama universiti.

“Dr. Siti Hawa merupakan lambang kekuatan luar biasa. Beliau membuktikan kecemerlangan akademik tidak diukur melalui kekangan yang dimiliki, sebaliknya ditentukan oleh semangat, usaha dan keazaman yang tidak pernah luntur.

“Beliau bukan sahaja mengharumkan nama UMPSA, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bahawa tiada halangan untuk mencapai cita-cita sekiranya diberikan peluang, sokongan dan akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.

Menurut beliau, UMPSA akan terus komited memperkukuh agenda pendidikan inklusif dengan menyediakan ekosistem pembelajaran kondusif serta peluang sama rata kepada semua pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF), Persatuan Spinal Muscular Atrophy (SMA) Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Komputeran, ahli keluarga Dr. Siti Hawa, para pensyarah serta semua pihak yang memainkan peranan sepanjang perjalanan akademik beliau.

Ujarnya, kejayaan Dr. Siti Hawa diharap menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa pendidikan merupakan hak setiap individu dan tiada batasan untuk mencapai kejayaan apabila disertai kecekalan, sokongan keluarga serta komitmen institusi pendidikan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif.

Intipati
  • Dr. Siti Hawa Apandi diiktiraf MBOR sebagai pesakit SMA pertama mencapai rekod berkenaan.
  • Beliau menamatkan pengajian berterusan dari diploma hingga PhD di UMPSA.
  • Ibunya, Zaidah Tamjis, menemani beliau sepanjang pengajian sejak bermula diploma pada 2007.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan