Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dr Zambry Janji Bantu Pelajar Cemerlang STPM Sambung Pengajian Di USM

USM
Kredit: Facebook 3rd Force Pasir Mas

Hasrat seorang pelajar cemerlang STPM dari Pasir Mas, Kelantan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry berkata, pihaknya akan membantu pelajar terbabit, Rashid Ibrar Khan, yang berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian dalam program Sarjana Muda Pendidikan Geografi dengan Kepujian di USM.

“Insya-Allah kita bantu. Pihak USM akan hubungi pelajar,” katanya menerusi ruangan komen.

Tangkap layar respon Dr Zambry.

Menurut perkongsian yang tular di media sosial, Ibrar merupakan anak sulung daripada empat beradik dan baru sahaja menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke USM.

Pelajar itu turut membuktikan kecemerlangannya dalam bidang akademik apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Namun, ujarnya menerusi perkongsian berkenaan, perjalanan untuk melangkah ke menara gading bukanlah mudah apabila keluarganya kini berdepan kekangan kewangan.

Menurutnya, ayahnya, Khan Zada atau lebih mesra disapa Azhar, tidak lagi mampu melakukan kerja berat selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika menjalankan kerja membaik pulih rumah.

Kredit: Facebook 3rd Force Pasir Mas

Difahamkan, kedua-dua tangan serta tulang pinggul Azhar mengalami patah selain turut mempunyai masalah jantung.

Kini, jelasnya, Azhar hanya mengusahakan sebuah kedai runcit secara kecil-kecilan dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, manakala ibu Ibrar merupakan suri rumah sepenuh masa.

Dalam masa sama, tiga lagi adik Ibrar masih bersekolah di peringkat menengah.

Ibrar dijadualkan mendaftar di USM pada 14 September depan dan perlu menyediakan kira-kira RM1,100 bagi yuran pendaftaran.

Jumlah itu, menurut perkongsian berkenaan, belum termasuk keperluan lain seperti komputer riba yang diperlukan Ibrar sepanjang mengikuti pengajian di kampus.

Intipati
  • Dr Zambry berkata kementerian akan membantu Rashid Ibrar Khan meneruskan pengajian di USM.
  • Ibrar memperoleh PNGK 3.92 dalam STPM dan ditawarkan program Sarjana Muda Pendidikan Geografi.
  • Keluarganya berdepan kekangan kewangan, dengan bapanya kini mengusahakan kedai runcit kecil-kecilan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan