Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini merasmikan pelancaran Robot Exoskeleton ANGEL Legs M20 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama saintifik antara Malaysia dan Korea Selatan.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM itu turut disaksikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib, delegasi rakan strategik dari Republik Korea, pengamal kesihatan serta ahli akademik.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pengajian Tinggi dan UiTM dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara melalui penerapan teknologi inovatif dan pendekatan berasaskan bukti.

Exoskeleton Angel Legs M20 merupakan robot pemulihan yang digunakan dalam sesi terapi membolehkan pesakit menjalani latihan berjalan, sekali gus meniru pergerakan harian seperti berjalan dan menaiki tangga.
Berbeza daripada kaedah terapi konvensional, Angel Legs M20 merupakan peranti pemulihan boleh pakai yang dilengkapi kawalan pintar dan sensitif terhadap rangsangan serta menganalisis pergerakan yang lebih tepat.
Pendekatan ini membolehkan sesi pemulihan dijalankan secara lebih sistematik dan konsisten, sekali gus membantu mengoptimumkan proses pemulihan pesakit, namun tempoh pemulihan adalah bergantung kepada tahap dan keadaan klinikal setiap pesakit.

Buat kali pertamanya, Robot Exoskeleton ANGEL Legs M20 telah dibawa ke Malaysia pada tahun 2022 bagi tujuan penyelidikan klinikal untuk terapi pesakit strok dan kajian tersebut telah diselesaikan pada tahun 2024.
UiTM telah dipilih sebagai rakan strategik pertama di Malaysia oleh Angel Robotics Co. Ltd, Korea Selatan, bagi melaksanakan penyelidikan robotik pemulihan menggunakan teknologi exoskeleton ini.
Susulan kejayaan kajian tersebut, pihak Korea Selatan telah memutuskan untuk menyumbangkan robot berkenaan kepada Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi kegunaan terapi pesakit.
Sumbangan ini merupakan hasil kerjasama penyelidikan antarabangsa antara UiTM dan rakan strategik dari Republik Korea, termasuk Angel Robotics Co. Ltd serta beberapa institusi perubatan terkemuka Korea Selatan.

Menurut YB Menteri Pengajian Tinggi, inisiatif ini menandakan kejayaan kerjasama akademik antarabangsa antara Malaysia dan Republik Korea, yang membuka laluan kepada pembangunan pusat rujukan pemulihan robotik di UiTM serta memperkukuh ekosistem penyelidikan teknologi kesihatan negara.
“Pelancaran Robotic Exoskeleton Angel Legs M20 hari ini melambangkan satu lonjakan signifikan dalam kualiti perkhidmatan pemulihan di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM, sekali gus memperkukuh peranan hospital ini sebagai pusat rujukan pemulihan perubatan berteknologi tinggi. Kerjasama strategik UiTM dengan rakan dari Republik Korea, khususnya bersama Angel Robotics, menyediakan satu platform penting bagi pemindahan teknologi, peluang latihan kepada staf dan pelajar, serta penyelidikan bersama berimpak tinggi dalam bidang teknologi robotik,” ujar Naib Canselor UiTM.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir turut menyempurnakan penyerahan sebuah klinik bergerak berasaskan lori bas yang diubah suai dan dilengkapi peralatan perubatan, serta sebuah kenderaan elektrik (EV) di bawah program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS).
Klinik bergerak ini direka bentuk dengan mengambil kira skop perkhidmatan rawatan, aliran pesakit, aspek kepraktikan, keselesaan serta keselamatan kakitangan dan penerima perkhidmatan.

Inisiatif ini bertujuan memperluas jangkauan perkhidmatan kesihatan serta menyokong respons awal yang lebih pantas dan efisien di peringkat komuniti.
Klinik bergerak ini menyokong pelaksanaan konsultasi perubatan asas, saringan kesihatan, penjagaan pencegahan dan program pendidikan kesihatan, selain berfungsi sebagai platform latihan serta penglibatan pelajar dan profesional kesihatan UiTM dalam penyampaian perkhidmatan klinikal secara langsung. Inisiatif ini telah disambut baik oleh Hospital Al-Sultan Abdullah sejak Februari 2022.