“Mak ayah nak peluk siapa dulu ni?”
Begitulah gambaran kegembiraan sebuah keluarga apabila dua beradik dari SBP Integrasi Selandar masing-masing mencipta kejayaan dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa (PTQA).
Si adik, Arif Danish Mohammad Fadhley muncul Johan Kategori Lelaki, manakala kakaknya, Arfa Danish Mohammad Fadhley pula meraih Tempat Ketiga Kategori Perempuan.

Lebih membanggakan, kedua-duanya mewakili sekolah yang sama dalam pertandingan secara dalam talian yang menghimpunkan peserta dari Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Perkongsian Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) di Facebook baru-baru ini turut memaklumkan kejayaan berkenaan, yang menyaksikan 15 murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) berada dalam senarai pemenang.
Dalam kategori lelaki, Arif Danish Mohammad Fadhley dari SBP Integrasi Selandar, Malaysia muncul sebagai Johan, manakala Muhammad Raif Zhulfan Rosli dari Sekolah Sultan Alam Shah meraih Tempat Keempat.
Sementara itu, lima peserta lain berkongsi Tempat Kelima, iaitu Ammar Zarith Azaha dari SM Agama Persekutuan Labu, Ahmad Thaqeef Humaidi Ahmad Tarmizi dari SBP Integrasi Rawang, Muhammad Najwan Nisar Mohammad dari SBP Integrasi Kubang Pasu, Arrief Adam Mohd Azril dari SM Sains Kuala Selangor dan Umar Faiz Mohamed Johari dari SM Sains Tapah.
Bagi kategori perempuan pula, Nur Farhah Irdina Ruslan dari SBP Integrasi Rawang, Malaysia dinobatkan sebagai Johan, manakala Arfa Danish Mohammad Fadhley dari SBP Integrasi Selandar meraih Tempat Ketiga.
Enam lagi peserta pula berkongsi Tempat Kelima, masing-masing Anis Batrisya Zulkarnain dari SBP Integrasi Temerloh, Adwa Jannah Izzat Hariz dari SBP Integrasi Gombak, Lyna Nur Aisyah Syafiyyah Mohd Suhaszeli dari SM Sains Batu Pahat, Nurizzah Insyirah Zainuddin dari SM Sains Muar, Aulia Annasiha Afiq Najmi dari SM Sains Datuk Setia Abdul Ghani Ali serta Farisya An Nur Suardi dari SM Sains Lahad Datu.
Menurut BPSBP, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan para peserta, malah turut menjadi pencapaian bermakna buat guru pembimbing serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan.
Dalam perkongsian sama, BPSBP turut merakamkan penghargaan kepada Sekolah Menengah Sains Batu Pahat selaku penganjur yang berjaya menghimpunkan generasi muda dari lima negara menerusi alunan ayat suci al-Quran.

