Dua ekor panda gergasi dari China berlepas menuju Zoo Atlanta, Amerika Syarikat, pada Ahad dalam langkah terbaharu Beijing meneruskan tradisi ‘diplomasi panda’ bagi mengeratkan hubungan dengan negara lain.
Menurut agensi berita China, Xinhua, kedua-dua panda berkenaan berlepas dari Chengdu, barat daya China, pada jam 2.55 pagi waktu tempatan Ahad.
Penerbangan itu berlangsung sehari selepas lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Washington berakhir.
Dalam lawatan tersebut, Xi dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju melanjutkan gencatan perdagangan antara kedua-dua negara serta mewujudkan talian komunikasi kecerdasan buatan (AI).
Rakaman yang disiarkan Xinhua menunjukkan orang ramai melambaikan plakad ketika trak membawa kedua-dua panda berkenaan menuju ke lapangan terbang dari Pusat Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi di wilayah Sichuan.
Dua peti khas yang menempatkan panda itu kemudiannya dibawa masuk ke pesawat sebelum perjalanan kira-kira 15 jam ke Atlanta.
China turut menghantar beberapa doktor veterinar dan penjaga panda untuk kekal di Zoo Atlanta ketika kedua-dua haiwan itu menjalani proses kuarantin sebaik tiba.
Ping Ping Dan Fu Shuang
Menurut Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Kebangsaan China, salah seekor panda berkenaan dinamakan Ping Ping, yang membawa maksud ‘keamanan’.
Ping Ping dilahirkan pada 17 Mac 2020 dan mempunyai tompokan hitam besar di sekeliling mata selain diketahui gemar memanjat pokok.
Seekor lagi dinamakan Fu Shuang, yang bermaksud ‘dua keberkatan’, dan dilahirkan pada 18 Oktober tahun sama.
Fu Shuang mempunyai sedikit bulu di bahagian atas kepala serta dahi yang sedikit menonjol dan dikatakan mudah menemukan makanan.
Pasangan panda itu dipilih berdasarkan faktor usia, kesihatan, genetik dan personaliti.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu, Li Mingxi, kedua-duanya diharapkan mempunyai sifat jinak, serasi antara satu sama lain serta berpotensi mengawan secara semula jadi.
Panda Sebagai ‘Duta Persahabatan’
Penghantaran panda ke luar negara sudah lama menjadi sebahagian daripada pendekatan diplomasi China.
Tradisi itu bermula lebih lima dekad lalu apabila China menghantar panda ke luar negara sebagai simbol persahabatan, selain usaha mengukuhkan hubungan dan membuka ruang kerjasama dengan negara lain.
Xi sebelum ini menyifatkan panda gergasi sebagai “utusan persahabatan antara rakyat China dan Amerika”, merujuk kepada sejarah penghantaran panda ke zoo di AS.
Tradisi tersebut bermula pada 1972, tidak lama selepas Presiden AS ketika itu, Richard Nixon menjadi presiden Amerika pertama melawat China selepas penubuhan Republik Rakyat China.
Atlanta Pernah Jadi Rumah Panda China
Zoo Atlanta sebelum ini turut menempatkan beberapa ekor panda dari China.
Sepasang panda, Lun Lun dan Yang Yang, pernah berada di zoo tersebut dan menghasilkan tujuh anak antara 2006 hingga 2016 sebelum kesemuanya kembali ke Chengdu.
Zoo Atlanta sebelum ini menyatakan pihaknya berbesar hati untuk menerima Ping Ping dan Fu Shuang.
Kedua-dua panda itu dijadualkan menjalani kuarantin selepas tiba, dengan pasukan penjaga dari China turut membantu sepanjang tempoh berkenaan.
Panda Dilatih Untuk Perjalanan Jauh
Menurut penjaga mereka, Ping Ping dan Fu Shuang telah menjalani kuarantin selama sebulan sebagai persediaan sebelum berpindah.
Kedua-duanya turut dilatih untuk menghadapi perjalanan udara yang panjang, termasuk membiasakan diri berada di dalam peti khas serta terdedah kepada bunyi bising.
Penjaga mereka, Fu, berkata perpisahan itu cukup menyentuh perasaannya selepas sekian lama menjaga kedua-dua panda tersebut.
“Selepas menjaganya begitu lama... ia seperti membesarkan anak sendiri,” katanya kepada CCTV.
Menurutnya, kedua-dua panda itu ketika dilahirkan hanya mempunyai berat sedikit melebihi 100 gram sebelum dibesarkan sehingga jauh lebih besar.
“Saya tidak dapat melihat mereka untuk tempoh yang agak lama, jadi sukar untuk mengucapkan selamat tinggal,” katanya.

