Dua orang pendaki wanita dilapor telah dikejarkan ke hospital setelah dipanah petir ketika berada di atas sebuah gunung di Wales.
Menurut Daily Mail, nasib dua orang pendaki di gunung Snowdon itu sememangnya tidak baik kerana cuaca buruk yang melanda di wilayah itu pada petang semalam.
Anggota penyelamat mengatakan bahawa ketika berada di puncak setinggi 3,560 kaki, salah seorang daripada wanita itu mengalami pendarahan dan tidak sedarkan diri.
Seorang saksi mengatakan bahawa sebelum ribut petir berlaku, cuaca berada dalam keadaan yang sangat cerah.
“Apabila kami tiba di gunung itu, kami melihat pasukan penyelamat turun dan membawa dua wanita yang cedera,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu telah diselamatkan oleh Pasukan Penyelamat Gunung Llanberis.
“Pasukan penyelamat dipanggil oleh Polis North Wales hari ini kerana seorang wanita telah disambar petir dan tidak sedarkan diri dengan mengalami pendarahan di bahagian wajahnya.
“Beberapa orang anggota dikerahkan dengan berjalan kaki dan menaiki kereta api, manakala yang lain diterbangkan oleh pasukan Penyelamat 936 ke stesen Clogwyn,” kata Jurucakap Pasukan Penyelamat Gunung Llanberis.
Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke hospital Bangor, Gwynedd dengan menggunakan helikopter. Pun begitu, keadaan mereka yang terkini tidak diketahui.
Sementara itu, beberapa wilayah di negara itu dilaporkan telah mengalami keadaan cuaca yang melampau seperti ribut petir, hujan batu dan puting beliung.
Sumber: Daily Mail