Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dulu Sekadar “Gamer”, Kini Anak Malaysia Bangunkan Permainan Video Bertemakan Hantu Asia

Permainan video hantu asia
Kredit: Osem Production

Dulu Sekadar “Gamer”, Kini Anak Malaysia Bangunkan Permainan Video Bertemakan Hantu Asia

Kalau diimbas kembali zaman kanak-kanak, kebanyakan daripada kita membesar dengan bermain pelbagai jenis permainan video sekadar untuk mengisi masa lapang.

Namun bagi seorang anak muda ini, minatnya bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada perjalanan panjang dalam dunia pembangunan permainan video.

Itulah kisah Muhammad Farid Adham Bin Roslan, 26 tahun, yang kini bergelar pembangun permainan video indie tempatan dan pengasas studio pembangunan permainan video, Osem Production.

The Night Job Hotel
Kredit: Osem Production

Minat Bermula Dari Rasa Kagum Terhadap Dunia Permainan Video

Menurut Farid, kenangan paling awal yang masih segar dalam ingatannya merupakan rasa kagum melihat bagaimana sesuatu permainan video mampu membangkitkan pelbagai emosi kepada pemain.

Bermula dari rasa teruja, takut hingga kepada perasaan puas apabila berjaya menamatkan sesuatu misi, pengalaman itu membuatkan dia mula tertanya-tanya tentang proses di sebalik pembinaan sesebuah permainan video.

Daripada sekadar bermain, minat itu perlahan-lahan berubah menjadi keinginan untuk mencipta permainan videonya sendiri.

Persoalan tentang bagaimana sesuatu permainan dihasilkan akhirnya mendorong Farid untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pembangunan permainan video dan animasi.

Langkahnya ketika itu bersama harapan suatu hari nanti, dia bukan sahaja menjadi pemain, tetapi juga pencipta kepada pengalaman yang boleh dinikmati oleh orang lain. 

The Night Job Hotel
Kredit: Osem Production

Bermula Sebagai Pereka 3D Bebas, Lahirnya Osem Production

Perjalanan Farid dalam dunia pembangunan permainan video tidak bermula dengan syarikat besar atau pelaburan tinggi.

Sebaliknya, semuanya bermula secara kecil-kecilan ketika dia masih bergelar pelajar universiti.

Ketika itu, Farid menubuhkan Osem Production sebagai syarikat milikan tunggal untuk menjalankan kerja pereka 3D bebas secara sambilan.

Pada peringkat awal, Osem Production hanya berfungsi sebagai identiti profesional bagi kerja-kerja kreatif yang dilakukannya.

Namun apabila komitmen kerja lain semakin meningkat, kerja sambilan tersebut terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Game hantu asia malaysia
Kredit: Osem Production

Beberapa tahun kemudian, Farid melihat semula Osem Production bukan sekadar sebagai syarikat freelance, tetapi sebagai asas untuk membangunkan permainan video sendiri.

Menariknya, nama ‘Osem’ yang digunakan sebagai nama studio itu sebenarnya berasal daripada nama panggilan yang sering digunakan oleh rakan-rakan semasa zaman sekolah.

Nama itu dipilih kerana dekat dengan identiti dirinya serta mencerminkan perjalanan peribadi dalam bidang kreatif.

Game hantu malaysia hotel
Kredit: Osem Production

 Idea Permainan Video Seram Asia Jadi Titik Permulaan

Idea untuk membangunkan permainan video sendiri bermula apabila Farid melakukan kajian tentang genre permainan video yang sesuai untuk pembangun baharu.

Menurutnya, genre seram dilihat sebagai pilihan terbaik untuk bermula kerana tidak serumit genre berskala besar seperti RPG.

Namun dalam proses kajian itu, dia menyedari kebanyakan permainan video seram di pasaran menggunakan elemen dan entiti dari budaya Barat.

Dari situ, timbul satu persoalan dalam fikirannya. Mengapa tidak menggunakan hantu dari Asia sebagai asas kepada permainan video yang dibangunkan?

Berpaksikan kepada persoalan tunjang ini, Farid bersama rakan-rakan mula membangunkan sebuah projek permainan video seram berskala kecil.

Sepanjang proses pembangunan, projek tersebut berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar. Bagaimanapun, ia masih dalam skop yang mampu dikawal oleh pasukan kecil mereka.

Kredit: Osem Production

 Projek Hampir Gagal, Cabaran Demi Cabaran

Seperti kebanyakan projek pembangunan kreatif lain, perjalanan membangunkan permainan video ini tidak berjalan dengan mudah.

Farid mengakui bahawa ada ketika mereka merasakan projek tersebut hampir gagal sepenuhnya.

Situasi seperti skop projek yang terlalu besar serta pelbagai isu teknikal menyebabkan tekanan semakin meningkat.

Ada masanya, mereka berasa hampir berputus asa apabila cabaran yang dihadapi terasa terlalu berat untuk diatasi.

Namun menurut Farid, semua cabaran itu sebenarnya menjadi proses pembelajaran yang penting.

Pengalaman tersebut mengajar mereka untuk menjadi lebih realistik dalam merancang skop pembangunan permainan video.

Kredit: Osem Production

Kesilapan Yang Mengajar Erti Keutamaan

Sepanjang proses pembangunan, Farid turut mengakui bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Antara kesilapan terbesar termasuk terlalu fokus kepada kesempurnaan sehingga beberapa tarikh akhir tidak dapat dipenuhi.

Daripada pengalaman itu, mereka belajar satu perkara penting. Produk yang siap lebih baik daripada sesuatu yang terlalu sempurna tetapi tidak pernah dilancarkan.

Pendekatan ini membantu pasukan untuk mengekalkan momentum dan memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh yang dirancang.

Kredit: Osem Production

Berjimat Demi Terus Bertahan

Sebagai pembangun permainan video indie, isu kewangan sentiasa menjadi antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi.

Menurut Farid, mereka perlu berbelanja secara minimum dan membuat keputusan bijak dalam setiap pelaburan yang dilakukan.

Ada masanya keadaan kewangan menjadi agak sesak. Namun minat terhadap projek tersebut menjadi pendorong utama untuk terus bertahan.

Pengurusan bajet yang berhemah menjadi salah satu strategi penting bagi memastikan pembangunan permainan video hantu Asia itu dapat diteruskan tanpa gangguan besar.

Kredit: Osem Production

 Bekerja Siang Malam Demi Impian

Salah satu cabaran paling sukar yang dihadapi sudah tentu membahagikan masa antara kerja tetap dan pembangunan projek tersebut.

Memandangkan projek itu dijalankan sebagai kerja sampingan, Farid dan pasukannya terpaksa bekerja selepas waktu pejabat.

Keletihan sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun, disiplin yang tinggi menjadi kunci untuk memastikan projek terus berjalan.

Walaupun penat, kepuasan melihat perkembangan permainan video mereka sedikit demi sedikit membuatkan segala usaha terasa berbaloi.

Detik Paling Mendebarkan

Salah satu momen paling bermakna dalam perjalanan ini apabila Farid melihat permainan video yang dibangunkan, dimainkan oleh orang lain buat kali pertama.

Menurutnya, perasaan ketika itu bercampur antara rasa cuak dan teruja.

Dia bimbang sekiranya pemain tidak memahami permainan tersebut atau menemui pelbagai masalah teknikal.

Namun dalam masa yang sama, perasaan bangga dan gembira mula dirasai apabila melihat mereka memberi maklum balas positif terhadap permainan video tersebut.

Malah, melihat reaksi pemain yang terkejut dan ketakutan pada babak tertentu memberikan kepuasan luar biasa kepada pasukan pembangun.

Menurut Farid, segala penat lelah yang dilalui terasa seperti terbayar apabila mengetahui bahawa permainan video ciptaannya berjaya memberi kesan kepada pemain.

Keunikan Hantu Asia Jadi Identiti

Salah satu keunikan utama permainan video yang dibangunkan merupakan penggunaan entiti seram dari Asia Tenggara.

Berbeza dengan kebanyakan permainan video seram yang menggunakan elemen Barat, Farid memilih untuk mengetengahkan unsur yang lebih dekat dengan budaya tempatan.

Antara entiti yang diketengahkan termasuk Kuntilanak dan Penanggal, yang sering diceritakan dalam kisah rakyat di rantau ini.

Menurutnya, pemilihan elemen tersebut bertujuan untuk memperkenalkan keunikan budaya seram Asia kepada pemain di seluruh dunia.

Pada masa sama, pendekatan ini membantu pemain dari rantau ASEAN untuk merasakan pengalaman seram yang lebih dekat dengan budaya mereka. 

Game hantu malaysia farid
Kredit: Osem Production

Nasihat Kepada Pembangun Permainan Video Baharu

Sebagai individu yang telah melalui pelbagai cabaran dalam bidang pembangunan permainan video, Farid turut berkongsi nasihat kepada pembangun tempatan yang ingin menceburi industri ini.

Menurutnya, perkara paling penting ialah berani untuk bermula.

Dia menekankan bahawa ramai pembangun terlalu fokus kepada idea besar sehingga akhirnya tidak berjaya menyiapkan apa-apa projek.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar pembangun memulakan projek berskala kecil.

Beri tumpuan untuk menyiapkannya dan belajar daripada pengalaman tersebut sebelum bergerak ke projek seterusnya. 

Dari kiri, atas: Aidil Jamalulail, Muhammad Farid Adham Roslan, Farzeen Faizal. Dari kiri, bawah: Azmina Malik, Hibat Hakim, Reza Syazwan, Arif Zainal. Kredit: Osem Production

Langkah Seterusnya Untuk Masa Depan

Selepas kejayaan melancarkan projek pertama, Farid dan pasukannya tidak berhasrat untuk berhenti setakat itu sahaja.

Sebaliknya, mereka merancang untuk terus menghasilkan pelbagai permainan video baharu dengan skop dan idea yang berbeza.

Menurutnya, projek pertama ini hanyalah permulaan kepada usaha membina asas kukuh sebagai sebuah studio pembangunan permainan video tempatan.

Dengan pengalaman yang diperoleh, Farid berharap Osem Production dapat berkembang sebagai studio yang aktif dan konsisten dalam menghasilkan karya berkualiti.

Perjalanan yang bermula daripada rasa kagum terhadap permainan video kini membuka jalan kepada impian yang lebih besar dalam industri kreatif tempatan.