Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Elak Pembaziran, Ini Petua Simpan Barang Basah Agar Tahan Lebih Lama
Dalam keadaan kos makanan yang semakin meningkat hari ini, pengurusan bahan mentah di dapur menjadi satu perkara yang semakin penting untuk diberi perhatian.
Ramai antara kita memilih untuk membeli barangan basah dalam jumlah yang lebih banyak, kadang-kadang untuk kegunaan satu hingga dua minggu sekaligus bagi menjimatkan masa dan perjalanan ke pasar atau pasar raya.
Namun begitu, tanpa kaedah penyimpanan yang betul, bahan mentah ini mudah rosak dan hilang kesegarannya sebelum sempat digunakan.
Situasi ini secara tidak langsung sering menimbulkan rasa kecewa, apatah lagi apabila makanan yang dibeli akhirnya terpaksa dibuang kerana sudah tidak sesuai untuk dimasak atau kandungan nutrisinya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah berkongsi beberapa tip yang memang boleh membantu orang ramai untuk simpan barangan basah dengan lebih baik, supaya tahan lebih lama dan tak cepat rosak.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @kpkmmalaysia di TikTok, orang ramai diingatkan supaya elakkan simpan bahan protein seperti ayam dan ikan dalam bentuk satu ketulan besar atau dalam jumlah yang terlalu banyak sekali gus.
Contohnya, seekor ayam terus dimasukkan dalam satu bekas. Apabila hendak memasak, barulah dikeluarkan dan dicairkan (defrost) berulang kali mengikut jumlah yang diperlukan pada waktu tersebut.

Menurut @kpkmmalaysia, cara yang lebih betul ialah dengan bersihkan ayam atau ikan dulu, kemudian potong ikut bahagian yang diperlukan dan simpan dalam bekas kedap udara mengikut saiz hidangan untuk sekali masak.
"Bila nak guna, keluarkan satu bekas sahaja. Sumber mentah terjamin kekal segar dan tidak hilang nutrisi akibat proses defrost berkali-kali," ujar KPKM.
Menurut KPKM, tangkai cili perlu dipatahkan terlebih dahulu kerana bahagian tersebut mudah menjadi tempat pembiakan bakteria.
Seterusnya, alas bahagian dasar bekas dengan tisu dapur, kemudian masukkan cili dan letakkan seulas bawang putih yang telah dikupas.

Selain itu, tisu dapur juga perlu ditukar sekiranya ia mula lembap bagi memastikan tahap kesegaran cili dapat dikekalkan lebih lama.
Difahamkan, cili sememangnya mudah rosak, manakala bawang putih berfungsi sebagai antikulat semula jadi yang membantu melambatkan proses kerosakan.
Seperti yang diketahui, daun ketumbar merupakan bahan yang mudah layu sekiranya tidak digunakan dalam tempoh yang singkat.

Sebenarnya, daun ketumbar ini agak sensitif dan jika cara penyimpanannya tidak betul, dalam masa kira-kira tiga hari sahaja ia boleh mula bertukar kehitaman.
Cara penyimpanan yang disyorkan adalah dengan mencucinya sehingga bersih, memotong sedikit bahagian akar, kemudian merendamnya di dalam bekas yang berisi sedikit air. Semoga bermanfaat.