“Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?” Kita mesti biasa dengar ayat ini di kaca televisyen, kan?
Sakit kepala selalunya dikaitkan dengan serangan migrain, iaitu satu situasi sakit kepala yang menyerang secara langsung dan biasanya berlaku di sebelah bahagian kepala sahaja.
Menurut perkongsian di laman portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serangan migrain akan berlaku melalui dua jenis, iaitu migrain tanpa aura (pesakit berasa sakit kepala tanpa sebarang amaran) dan migrain dengan aura (didahului dengan amara).
Gejala migrain
Antara gejala-gejala migrain yang dikenal pasti adalah seperti berikut:-
1. Sakit kepala
Selain diserang di bahagian sebelah kepala sahaja, pesakit juga akan mengalami simptom lain seperti berasa loya, kadang-kadang muntah, tidak tahan dengan cahaya terang atau bunyi yang kuat hingga terpaksa berehat di bilik gelap sehingga sakit kepala hilang.
2. Aura (tanda amaran sakit)
Biasanya tanda-tanda amaran sebelum sakit kepala berlaku selama satu hingga 15 minit, contohnya kehilangan sebahagian penglihatan secara sementara atau kerlipan cahaya seperti garisan zig-zag yang merebak sebelum hilang sepenuhnya daripada penglihatan.
Pesakit juga akan berasa kebas pada bibir, muka dan tangan, selain turut mengalami masalah pertuturan atau lain-lain tanda iaitu menghidu bau atau mengalami perasaan aneh serta kekeliruan dalamm pemikiran.
Sebelum serangan migrain berlaku, pesakit juga mungkin mengalami perubahan perasaan dan selera yang tidak begitu ketara, ia bermula beberapa jam atau beberapa hari sebelum sakit kepala yang sebenar.

Faktor-faktor pencetus migrain
Antara faktor-faktor yang dikenal pasti yang mungkin menjadi penyebab serangan migrain adalah seperti berikut:-
1. Makanan: alkohol, buah-buahan sitrus, kafein (kopi & teh), makanan mengandungi tyramine (keju, yogurt, kacang dan sebagainya).
2. Persekitaran: merokok atau bilik yang berasap rokok, cahaya terang seperti skrin yang terang atau cahaya yang berkelipan, bunyi bising dan bau yang kuat seperti minyak wangi.
3. Psikologi: kemurungan, cemas, marah, keletihan, tekanan dan sebagainya. Ada juga kes serangan berlaku kepada pesakit yang dalam keadaan tenang, dipanggil weekend migrain.
4. Ubat-ubatan: rawatan hormon, sesetengah ubat tidur dan ubat perancang keluarga.
5. Lain-lain: haid, pertukaran masa tidur dan putus haid.

Petua hilangkan migrain
Sehubungan itu, laman Twitter KKM hari ini berkongsi enam petua untuk menghilangkan rasa sakit migrain yang boleh diamalkan.
1. Elakkan makanan masin, berproses dan keju
Tukar sumber pemakanan kepada yang lebih sihat, tidak mendatangkan impak migrain serta berkhasiat tinggi sebagai alternatif terbaik.
2. Tidur dan rehat secukupnya
Kurang tidur juga boleh menjadi faktor serangan migrain. Maka uruskanlah waktu tidur dengan seimbang agar dapat kualiti tidur yang baik serta mampu menjalani kehidupan seharian dengan tenang keesokan harinya.
3. Elakkan minumah tinggi kafein
Bagi penggemar kopi dan teh yang kerap mengalami migrain, mungkin boleh tukar menu kopi dengan memilih kopi yang kurang kandungan kafein. Adalah lebih baik jika mengamalkan air kosong. Sifar kalori, sifar gula, sifar kafein.
4. Pengambilan diet seimbang
Pengambilan diet yang seimbang bukan sahaja membantu mengelakkan daripada terkena migrain, malah ia juga membuatkan tubuh badan kita lebih sihat.
5. Elakkan stres
Tekanan yang dialami sering kali menyebabkan kepala kita sakit. Maka sebab itu, uruslah tekanan tersebut dengan betul, cari solusi sebaiknya agar ia tidak membebankan lagi kepala kita dengan serangan migrain.
6. Bersenam
Bersenam juga salah satu amalan gaya hidup sihat yang disyorkan dalam kehidupan seharian. Selain membantu mengurangkan risiko migrain, ia juga boleh menyihatkan tubuh badan, menambahbaik kardiovaskular serta mengurangkan risiko obesiti.