Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Empat Keldai Akaun Termasuk Warga Emas Ditahan

Nurhanis
empat keldai warga emas
Kredit: BERNAMA

Empat Keldai Akaun Termasuk Warga Emas Ditahan

BALIK PULAU, 19 April (Bernama) — Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga emas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM47,006, semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat lelaki berusia 25 hingga 68 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya.

“Berdasarkan siasatan mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket dalam penipuan iaitu menyamar sebagai pegawai Touch N Go, pinjaman wang tidak wujud melalui dalam talian dan pelaburan Forex Torque Market LTD.

“Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM300 sehingga RM47,006 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun 2021, 2022 dan 2023,” menurut kenyataan itu.

Semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis putus sebahagian jari digigit penagih dadah

Kredit: BERNAMA

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis putus sebahagian jarinya apabila digigit lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah di hadapan pos pengawal Balai Polis Sungai Besi di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata dalam kejadian pada 10.15 malam itu suspek berusia 34 tahun datang ke balai polis berkenaan dan menjerit mahu menyimbah asid.

“Suspek kemudian bertindak agresif menyimbah air ke badan dan muka seorang daripada anggota polis yang bertugas di pos berkenaan sebelum meluru masuk ke dalam balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit turut membaling tin minuman sehingga dinding kaca pos berkenaan pecah.

Menurutnya, anggota polis berpangkat Koperal berusia 40 tahun itu bersama dua lagi anggota cuba menahan suspek yang kemudian bertindak menggigit jari manis di tangan kanan anggota polis tersebut sehingga putus di bahagian hujung.

Zam Halim berkata suspek kemudian berjaya ditahan dan ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, suspek yang direman sehingga Jumaat ini pernah mendapatkan rawatan psikatrik pada 2020 namun tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

Sumber: BERNAMA