Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Fasa Peralihan Monsun Dijangka Bermula 30 September Ini – MetMalaysia
Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 30 September ini dan berterusan sehingga November 2025.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 10 Mei lepas.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Keadaan ini boleh mengakibatkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, kepala air serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” kata MetMalaysia melalui satu kenyataan yang dimuat naik sebentar tadi.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Mereka boleh mengikuti perkembangan terkini cuaca tempatan menerusi laman web rasmi MetMalaysia termasuk aplikasi mobil myCuaca dan hantaran di facebook jabatan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi MetMalaysia di Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Sumber: MetMalaysia