Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

FBI Dilapor Siasat Operasi Kewangan AFA, Termasuk Dakwaan Pengubahan Wang Haram

FBI Dilapor Siasat Operasi Kewangan AFA
Kredit: AFP

FBI Dilapor Siasat Operasi Kewangan AFA, Termasuk Dakwaan Pengubahan Wang Haram

Ketika pasukan kebangsaan Argentina sedang mengejar impian untuk memenangi gelaran berturut-turut di Piala Dunia 2026, satu siasatan dilaporkan sedang berjalan di Amerika Syarikat berhubung akaun Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), lapor Marca.

Menurut akhbar La Nación, pendakwa raya persekutuan dan ejen FBI dilapor mula mengambil keterangan berhubung operasi kewangan badan yang diterajui Claudio “Chiqui” Tapia itu di Amerika Syarikat.

Presiden AFA, Claudio. Kredit: AFP

Objektif siasatan itu adalah untuk meneliti bagaimana AFA menggerakkan ratusan juta dolar melalui sistem perbankan negara berkenaan.

Selain itu siasatan juga dijalankan menentukan sama ada mana-mana transaksi terbabit boleh dikategorikan sebagai kesalahan di bawah bidang kuasa AS, termasuk pengubahan wang haram atau penipuan.

Di tengah-tengah fail kes itu yang masih berada pada fasa siasatan awal, muncul nama TourProdEnter LLC, iaitu syarikat milik penerbit teater Javier Faroni bersama isterinya, Erica Gillette.

Syarikat itu dilapor menguruskan kutipan kontrak komersial antarabangsa AFA sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk perjanjian dengan jenama seperti Adidas dan Warner.

Menurut dokumen perbankan yang disemak oleh La Nación, syarikat itu didakwa telah menggerakkan sekurang-kurangnya AS$260 juta melalui akaun yang dibuka di lima institusi kewangan Amerika Syarikat iaitu Citibank, Synovus, Bank of America, JP Morgan dan PNC Bank.

Kredit: AFP

Pun begitu, hanya sebahagian daripada dana tersebut boleh dikaitkan secara langsung dengan perbelanjaan operasi entiti itu yang dapat dikenal pasti.

Sebanyak AS$57 juta lagi didakwa telah disalurkan kepada pelbagai syarikat yang asal-usul dan destinasinya masih dalam analisis penyiasat.

Siasatan awal itu yang mula terbentuk sepanjang 2025, dikendalikan oleh sekurang-kurangnya tiga pendakwa raya persekutuan yang pakar dalam jenayah kewangan.

Mereka terdiri daripada Patrick Gushue dan Christopher Ting, yang berpangkalan di Washington serta Michael Berger dari Daerah Selatan Florida.

Salah satu langkah paling signifikan setakat ini ialah keterangan ahli perniagaan Guillermo Tofoni, yang merupakan pengadu asal berhubung struktur kewangan AFA di Amerika Syarikat.

Selain itu, Jabatan Kehakiman sedang mempertimbangkan untuk memanggil bekas pegawai daripada kerajaan Javier Milei.

Bukan kes baharu

Kes itu tidak timbul secara tiba-tiba. Ia didahului oleh satu amaran yang dihantar oleh Kementerian Keselamatan Argentina ketika itu di bawah pimpinan Patricia Bullrich kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat pada September 2024.

Amaran itu berhubung pergerakan kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan AFA.

Pada masa itu, FBI menilai bahawa tidak terdapat bukti mencukupi untuk membuka siasatan jenayah, namun keadaan berubah pada awal 2026 apabila fail kes tersebut berkembang dengan dokumen perbankan baharu dan aduan yang dikemukakan oleh Tofoni.

Sumber:MARCA