Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Fenomena Bulan Penuh Bakal Terangi Langit Malam Ini

Aina Munirah
Kredit: AFP

Fenomena Bulan Penuh Bakal Terangi Langit Malam Ini

Fenomena bulan penuh atau dikenali sebagai Beaver Moon bakal menerangi langit malam ini (5 November) dan ia merupakan yang terbesar serta paling terang bagi tahun 2025.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), bulan akan memasuki fasa bulan penuh pada jam 9.19 malam.

Bulan juga akan berada di kedudukan yang paling dekat dengan bumi iaitu pada jarak 356,832 km pada 6 November.

Menurut NASA, fenomena bulan penuh boleh kelihatan sehingga 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang.

Fenomena kali ini juga akan berada pada jarak kira-kira 222,000 batu (sekitar 357,000 kilometer) dari Bumi, menjadikannya yang paling dekat sejak tahun 2019.

Ahli astronomi, Lawrence Wassermen dari Lowell Observatory menjelaskan ketika fenomena itu berlaku, paras air laut mungkin sedikit tinggi, namun perbezaannya tidak begitu ketara.

Untuk pengetahuan, fenomena pasang surut mencapai kemuncak ketika bulan penuh dan bulan baharu, apabila tarikan graviti bulan dan matahari selari.

Kisah di sebalik Beaver Moon

Biasanya, setiap fenomena bulan penuh mempunyai nama lain yang dikaitkan dengan perubahan musim. Misalnya, fenomena Beaver Moon yang akan berlaku malam ini dikaitkan sempena memerang yang sibuk membina sarang dan bersedia untuk menghadapi musim sejuk.

Selain dari itu, fenomena ini juga pernah dikenali sebagai Hunter’s Moon dan Frosty Moon. Nama ini menggambarkan kehidupan masyarakat awal di Amerika Utara dan Eropah.

Sebelum wujudnya elektrik dan kalendar, manusia menggunakan kitaran bulan untuk menandakan masa, merancang musim menuai dan membuat persiapan menghadapi musim sejuk.

BACA: Fenomena Gerhana Bulan Penuh Bakal Berlaku Hari Ini

Dalam pada itu, MYSA turut memaklumkan berkenaan satu lagi fenomena yang akan berlaku pada malam ini iaitu, Hujan Meteor Southern Taurids.

Menurut MYSA, fenomena ini boleh disaksikan dari 23 September hingga 20 November 2025. Namun, kemuncaknya pada malam ini sehingga 6 November, dengan purata sekitar 5 meteor sejam.

Namun, cahaya bulan penuh yang turut berlaku malam ini dijangka sedikit menjejaskan penampakan meteor.

Sumber: Earth.com, ABC News, MYSA