Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Fenomena Jejak Masjid Jadi Perhatian, Ada Yang Dah Lawat 88 Masjid

aplikasi jejak masjid
Kredit: Gambar orang awam/Bernama

Seiring perkembangan teknologi digital, pembangunan aplikasi mudah alih kini semakin pelbagai dan memenuhi keperluan harian masyarakat.

Tidak hanya tertumpu kepada urusan komunikasi dan hiburan, malah terdapat juga aplikasi yang dibangunkan dengan tujuan menyokong gaya hidup serta amalan harian pengguna.

Baru-baru ini, seorang warga maya menjadi perhatian apabila berkongsi sebuah aplikasi berunsur komuniti dan ibadah, Jejak Masjid.

Pendekatan berbeza dalam memanfaatkan teknologi bagi mereka yang mengunjungi masjid dan surau ini meraih sambutan dari komuniti tempatan.

Lawat 75 Masjid, Carta Aplikasi Jejak Masjid Raih Perhatian Netizen

Seorang pengguna platform Threads dikenali sebagai @halalwander berkongsi tangkap layar aplikasi Jejak Masjid, sekali gus menarik perhatian ramai pengguna media sosial.

Perkongsian tersebut memaparkan carta kedudukan terkini pengguna aplikasi berkenaan, yang menyenaraikan jumlah masjid dikunjungi oleh setiap pengguna.

Kredit: Jejak Masjid

Menerusi carta itu, seorang pengguna dengan nama akaun Qwerty mencuri perhatian apabila dilihat telah menjejakkan kaki di 75 buah masjid.

Jumlah itu dianggap paling tinggi dalam kalangan pengguna aplikasi tersebut.

Melihat angka itu, pengguna berkenaan turut meninggalkan persoalan ringkas yang mencetuskan reaksi netizen.

"75 masjid. Bang kerja apa?" soal lelaki berkenaan dalam hantaran berkenaan.

Perkongsian itu kemudiannya menerima pelbagai reaksi daripada pengguna lain, yang rata-ratanya kagum dengan usaha dan konsistensi individu tersebut dalam mengunjungi masjid.

Berdasarkan pemerhatian SK, status terkini menunjukkan pengguna tersebut telah mengunjungi 88 buah masjid.

Kredit: Jejak Masjid

Aplikasi Jejak Masjid Galakkan Konsistensi Ke Masjid

Sebagai makluman, aplikasi Jejak Masjid merupakan sebuah platform yang dibangunkan oleh pengguna Threads dikenali sebagai @loqmandev.

Aplikasi ini membolehkan pengguna merekodkan kehadiran mereka di masjid atau surau melalui sistem daftar masuk, sekali gus mewujudkan elemen interaktif dalam aktiviti harian berkaitan ibadah.

Kredit: Jejak Masjid

Melalui sistem yang disediakan, pengguna akan memperoleh mata setiap kali melakukan daftar masuk di masjid atau surau.

Menariknya, pembangun aplikasi tersebut turut memperkenalkan beberapa perubahan baharu dalam sistem mata bagi menggalakkan penggunaan secara konsisten.

Antara perubahan yang diperkenalkan ialah Istiqamah Bonus, yang memberi ganjaran tambahan kepada pengguna yang melakukan daftar masuk ke masjid setiap hari tanpa putus.

Selain itu, terdapat juga Local Masjid Bonus, yang memberi mata tambahan kepada pengguna yang setia melakukan daftar masuk di masjid yang sama secara berturut-turut.

Dalam masa yang sama, sistem Fair System turut diperkenalkan bagi memastikan ketelusan penggunaan aplikasi.

Melalui sistem ini, aplikasi berupaya mengesan penggunaan GPS spoofing, aktiviti daftar masuk berulang secara tidak sah, serta menetapkan tempoh bertenang selepas pengguna keluar dari satu-satu lokasi.

Kredit: Jejak Masjid

Ketika ditanya SK, @halalwander menghuraikan dengan ringkas sistem pengumpulan mata bagi Jejak Masjid.

Antaranya termasuk pemberian 10 mata bagi pengguna setiap kali mendaftar masuk dan mendaftar keluar mana-mana masjid.

Mata bonus diberi jika pengguna mengunjungi masjid tersebut buat kali pertama.

"Pertama kali masuk masjid yang tak pernah pergi sebelum ni, dapat mata tambahan. Nak galakkan orang teroka masjid lain-lain," katanya.

Jika pengguna berkongsi gambar masjid, atau menghantar laporan, tambahan 10 hingga 15 mata diberikan.

"Sebab aplikasi ni bergantung kepada pengguna untuk pastikan maklumat masjid sentiasa betul dan terkini," jelas lelaki berkenaan.

Bagi mereka yang konsisten mendaftar masuk masjid setiap hari, mata Streak diberi antara lima hingga 20 mata.

"Konsisten datang dekat masjid yang sama akan dapat lima mata bonus. Kita juga nak galakkan orang untuk datang ke masjid kariah masing-masing," tambahnya lagi.

Kredit: Jejak Masjid

Dorong Amalan Konsisten Dalam Kehidupan Harian

Menurut pembangun aplikasi tersebut, fokus utama yang ingin diketengahkan melalui sistem ini adalah aspek konsistensi dalam kehadiran ke masjid atau surau.

Pendekatan menggunakan sistem mata dan ganjaran digital dilihat sebagai satu cara moden untuk mendorong pengguna menjadikan kunjungan ke masjid sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Perkongsian mengenai jumlah kunjungan yang tinggi juga menunjukkan bagaimana teknologi digital kini digunakan untuk menyokong gaya hidup yang lebih berdisiplin dan konsisten.

Dalam masa sama, aplikasi seperti ini turut mewujudkan komuniti pengguna yang berkongsi minat yang sama, sekali gus menjadikan aktiviti mengunjungi masjid lebih interaktif dan bermakna dalam kehidupan seharian.