Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Friedchillies Kembali Dengan Nasi Kandaq Fest 2.0 Di Sunway Putra, Kini Dengan “Vibe” Nostalgia

Azizah Najib
friedchillies nasi kandaq fest
Kredit: Friedchillies

Friedchillies Kembali Dengan Nasi Kandaq Fest 2.0 Di Sunway Putra, Kini Dengan “Vibe” Nostalgia

Kuala Lumpur, 21 September – Nasi Kandaq Festival 2.0 kembali lagi dari 21 hingga 22 September 2024, dianjurkan oleh laman web penggemar makanan FriedChillies dengan kerjasama Sunway Putra Mall dan Nasi Kandaq Hunters. Festival tahun ini akan mengimbau kembali nostalgia zaman keemasan nasi kandar pada tahun 70-an yang menyaksikan makanan ringkas golongan pekerja kolar biru ini melalui transisi menjadi juadah nasional yang digemari ramai.

“Tahun lepas lebih dari 20,000 penggemar nasi kandar berkunjung ke festival Nasi Kandaq untuk menikmati dan meraikan lejen-lejen utama nasi kandar negara di bawah satu bumbung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal. “Tahun ini kami pulang dengan 11 penjual nasi kandar utama negara, setiap satu dengan kari-kari mantap dan lauk-pauk istimewa mereka. Tahun ini kami ada dua lejen dari Ipoh bersama lejen-lejen dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor. Setiap tahun kami mahu penggemar makanan mengalami sesuatu yang baru di acara kami,” tambah Adly lagi.

“Sunway Putra Mall komited untuk mempersembahkan acara unik kepada pelbagai lapisan masyarakat. Selepas beberapa acara bertemakan makanan pada 2023, kami sedar yang pengunjung kami sangat menanti-nantikan acara sebegini dan keterujaan ini selari dengan misi kami untuk mewujudkan sebuah ruang bagi perhimpunan dan perayaan. Pusat membeli-belah kami terletak secara strategik di tengah-tengah ibu kota dengan akses mudah kepada pengangkutan awam dan perkhidmatan e-panggilan. Ia lokasi yang sesuai untuk kawan-kawan dan keluarga bertemu dan menikmati acara ini secara bersama,” kata Pengurus Besar Kanan Sunway Putra Mall, Danny Lee.

BACA: Kecur Air Liur, Ini Resipi Mi Kari Chinese Style

Sementara itu, Nasi Kandaq Hunters (NKH) teruja untuk menyokong satu lagi kerjasama antara FriedChillies dan Sunway Putra Mall sempena Nasi Kandaq Fest 2.0. Pengasas bersama NKH, Badrul Izam berkata, “NKH yakin Nasi Kandaq Fest 2.0 akan menjadi medan perhimpunan ulung penggemar nasi kandar di Lembah Klang kerana ia menampilkan pilihan juadah yang menyelerakan dari seluruh negara. Dengan senarai penjual nasi kandar yang dipilih secara teliti, kami yakin setiap pengunjung akan menemui sesuatu yang memenuhi selera mereka dan pada masa sama, meneroka pelbagai rasa yang baharu. Kami mengalu-alukan semua 265,000 anggota NKH untuk menyertai pesta makanan ekstravaganza ini.”

Kredit: Friedchillies

Tak kiralah sama ada anda penggemar tegar nasi kandaratau baru ingin mencuba keenakan juadah ini, kehadiran anda akan dijamu dengan pelbagai jenis kuah campur dan lauk-pauk seperti ayam bawang dan daging hitam yang diadun oleh ‘joki’ nasi kandar kegemaran ramai serta hidangan unik seperti Ayam Piru (ayam belanda) dan “Kambing Ros”. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keenakan legenda nasi kandar terbaik Malaysia tanpa perlu meninggalkan ibu kota!

INI ADALAH LEJEN-LEJEN NASI KANDAQ FEST 2024

Nasi Ganja Yong Suan (Ipoh)

Siapa tak kenal tempat ni? Dengan panggilan manja, ‘nasi ganja’ sebab memang boleh ketagih makan nasi kat sini! Ayam Merah lah bestseller, berwarna merah gelap kerana rempahnya semua terserap dalam daging ayam supaya setiap suap boleh rasa ‘juicy’. Cuba juga rendang daging dan kari ikan bawal, kitorang gerenti terbau kari kat jari, besok akan datang lagi! Mujurlah acara ni dua hari!

Restoran Yusuf, Relau

Yusuf Relau sangat popular pada acara tahun lepas dan mereka kembali dengan rendang daging dan ayam masak ros. Chutney dan lauk sambilan juga sungguh sedap dan memang ngam dengan lauk dan kuah-kuah di sini. Ini generasi baru pengusaha kandaq, jadi temat ni ada vibe tradisi tapi dengan jiwa hipster. Kedai di Relau juga telah diberi imej baru jadi bukan saja makanannya sedap tapi juga cantik untuk IG!

Nasi Kandar Kudu (KL)

Kudu adalah nasi kandar OG di Jalan TAR, KL. Sudah lebih 50 tahun mereka menghidangkan ‘surr’ kepada semua peminat nasi kandar. Limpa masak berempah dan ayam masak hitam sini memang lejen! Kalau berani cubalah hati goreng atau ayam goreng dengan telur ikan. Pro tip: Pesan ‘banjir’ untuk dapat rasa yang gerenti padu!

LC (Line Clear) Restoran (KL)

Peminat-peminat memang suka LC untuk ‘feeling’ nasi kandar yang tulen. Terkenal untuk seafood dan ‘kari macam Penang,’ tempat ini ada menu rahsia iaitu kari kepala ikan goreng- sedap beb! Semua makanan laut dihantar segar sini dari Kuala Selangor. Ayam goreng dengan kuah campoq, ayam bawang, dan kambing akan membuat anda beratur lagi. Memang depa ni tahu macamana nak memberi kepuasan dalam setiap suap macam cawangan induk depa di Pulau Pinang.

Hameediyah (KL/Penang)

Inilah nama ‘old school nasi kandar’ yang semua tahu. Hameediyah boleh dikatakan ‘otai’ nasi kandar di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Mesti cuba ayam masak ros, ayam kampung bawang, rendang daging and sotong gergasi goreng depa. Dari cawangan di Bukit Bintang depa nanti akan bawak nasi dan lauk-pauk dalam pot-pot ‘cast iron’. Dahsyat giler! Depa ni suka beraksi jadi kunjungilah gerai Hameediyah untuk menyaksikan gelagat ‘kandaq’ pada hari pesta.

Nasi Kandar Talam (JB)

Tahun lepas ramai ‘tak expect’ ada nasi kandar padu di Johor. Untuk NKF2.0 mereka akan membawa Kambing Ros yang dimasak istimewa untuk pesta ini dan juga sotong masala mereka yang masyhur. Semua akan dihidangkan atas pinggan besi untuk rasa autentik, nasi, kari, lauk dan bawang goreng akan ditabur diatas. Syok!

BACA: Resipi Roti Canai “Homemade”, Tak Perlu Pergi Kedai Dah Lepas Ni

Nasi Kandar Pelita Chai Leng Park (Penang)

Satu lagi OG, kami membawa restoran yang mulakan semua dari Pulau Pinang. Dikenali sebagai francais terbesar nasi kandar di Malaysia, Pelita memang sudah lama dikenali ramai. Ayam goreng di sini memang lejen, garing, juicy dengan rempah yang sempurna. Kadang-kadang kita nak layan lauk yang simpel dan dimasak dengan sempurna- tu je. Peminat sini memang suka kualiti yang konsisten kat sini, dan ayam goreng. Oh, dah dua kali cakap pulak.

Restoran Majeeda (Ipoh)

Juga dari Ipoh, Majeeda menghidangkan ayam merah mereka yang ikonik dalam pot-pot emas yang bergemerlipan. Cuba juga rendang daging kombo dengan ayam yang akan membuat anda rasa macam raja. Tambah bendi dan telur masin- setel!

Restoran Jamal Mohamad or Nasi Kandar Ketapang (Penang)

Nasi kandar waktu malam, Jamal Mohamad masih memberi ‘bawah pokok’ feel di Seberang Perai. Terkenal dengan daging hitam, kari perut kambing dan bermacam lagi lauk, memang best kat sini selepas matahati terbenam. Depa baru aje bukak cawangan di Singapura, caya lah!

Nasi Kandar Chef (Shah Alam)

Nasi kandar kat sini stail Melayu Kedah, hasil ilmu Chef Nabil yang pernah berguru dengan Nasi Kandar Haji Ramli dari Utara. Depa hanya guna 3 jenis kuah campoq- daging, ikan dan satu lagi yang berempah padu- cukup untuk rasa seimbang. Lauk spesial kat sini urat keting yang lembut, cair dalam mlut. Showstopper dia… ayam pudina- serius lain macam dan juga telur masin homemade. Nasik pun unik, warna kuning bukan sebab kunyit tapi campuran rempah yang bagi dia rasa wangi dan kaw.

Nasi Kandar Express (Southville, Bangi)

Tempat ni memang tengah nak naik sekarang, geng! Kalau korang tengah cari lauk power, Ayam Bawang dia memang tak boleh miss. Kuah campoq dia pun sedap, cukup pekat dan berempah, perfect dengan nasi panas-panas. Kalau korang kaki nasi kandar dan suka bawang, Ayam Bawang Nasi Kandar Express ni memang wajib try. Gerenti lepas makan terus ‘surr’! Datang bersedia untuk perpesta dan pakailah seluar longgar!

Kredit: Friedchillies

Bermacam-macam lagi aktiviti boleh dinikmati pada dua hari pesta antaranya pertunjukan cendol teh tarik (boleh turut serta sekali selepas demo), demonstrasi memasak, dan pertandingan makan yang akan mencabar keupayaan peserta dalam menikmati hidangan kari berapi yang melimpah ruah!

Saksikan lejen-lejen Nasi Kandar beraksi, setiap pinggan adalah satu persembahan.

BACA: Resipi Ayam Tandoori Homemade

Persembahan dan muzik era 70-an secara live, bagi mengimbau kenangan zaman keemasan juadah jalanan Malaysia turut ada selain hiasan klasik, lagu-lagu lama dan mengenang sejarah menerusi kisah evolusi nasi kandar dalam dekad-dekad yang berbeza.

Penaja-penaja seperti Beras Jasmine, Krimer Manis Able Farm dan Minyak Masak EcoSafa akan memainkan peranan penting dalam menjadikan festival ini perayaan bagi meraikan ramuan masakan yang berkualiti.

Di samping itu, kerjasama yang mengujakan dengan Hameediyah memberikan peluang kepada pengunjung festival untuk menghayati warisan dan tradisi di sebalik juadah ikonik Malaysia ini daripada artifak-artifak nasi kandar di muzium Hameediyah.

“Kami amat gembira apabila Nasi Kandaq Fest 2.0 tahun ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Kami berharap agar semua orang akan berkunjung dengan rakan-rakan dan keluarga untuk meraikan juadah yang enak dan unik ini serta menghayati budaya dan warisan di sebalik nasi kandar,” kata Adly.

Maklumat lanjut dan terkini tentang Nasi Kandaq Fest 2.0 boleh didapati menerusi akaun Instagram dan Facebook @friedchillies atau lawati www.friedchillies.com