Industri permainan video tempatan semakin menunjukkan taring apabila karya daripada pembangun Malaysia mula mendapat perhatian di peringkat lebih luas.
'Ondeh Ondeh' tembusi pentas dunia
Selain menawarkan hiburan, permainan video juga boleh menjadi medium untuk mengetengahkan budaya, cerita dan kreativiti tempatan kepada pemain dari seluruh dunia.
Lebih menarik, elemen budaya Asia Tenggara kini turut diterapkan dalam sebuah permainan video yang menggabungkan pengembaraan, puzzle, muzik dan aksi.
Dengan dunia permainan yang penuh warna-warni serta kisah mengenai keluarga, keberanian dan penemuan diri, karya ini pastinya menarik perhatian peminat permainan video.
Terbaharu, permainan video tempatan Ondeh Ondeh: Kaya’s Tasty Tale oleh Metronomik akhirnya memperlihatkan trailer rasmi pertamanya, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai dunia dan pengembaraan yang bakal dibawakan kepada pemain.
Bukan sekadar permainan, bawa budaya Asia Tenggara
Lebih menarik, pembangun permainan tersebut turut mengumumkan kerjasama dengan Bandai Namco Southeast Asia sebagai rakan penerbit.
Dalam pengumuman berkenaan, pasukan Ondeh Ondeh menzahirkan penghargaan atas segala sokongan dan kesabaran yang diberikan sepanjang proses pembangunan permainan tersebut.
Menerusi Ondeh Ondeh: Kaya’s Tasty Tale, pemain akan mengikuti pengembaraan Kaya dalam usahanya untuk menjadi seorang Worldbuilder.
Permainan puzzle dan aksi pengembaraan ini turut mengetengahkan kisah berkaitan keluarga, keberanian serta penemuan diri yang menjadi sebahagian daripada perjalanan Kaya.
'Selera' jadi dunia penuh warna-warni
Dunia permainan yang dikenali sebagai 'Selera' pula diinspirasikan daripada kepelbagaian budaya Asia Tenggara.
Dalam pengembaraan tersebut, pemain bakal meneroka dunia yang penuh warna-warni, bertemu dengan watak baharu, melalui pelbagai pertemuan ajaib serta menyelami kisah yang dibawakan sepanjang perjalanan Kaya.
Bukan sekadar menyelesaikan puzzle, pemain juga perlu bergerak mengikut rentak muzik, menggunakan kuasa muzik dan mengendalikan Kaya’s Spoon ketika berdepan musuh-musuh dalam pertempuran yang penuh aksi.
Dari Malaysia ke pentas Nintendo Direct
Dalam pada itu, pengasas bersama Metronomik, Wan Hazmer, turut berkongsi keterujaannya selepas permainan tersebut dipaparkan dalam acara Nintendo Direct baru-baru ini.
Menerusi hantaran di akaun X miliknya, Wan Hazmer menyifatkan kemunculan permainan itu dalam acara berkenaan sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap pasukan dan rakan kerjasama yang terlibat, selain memuji dedikasi serta kreativiti mereka dalam menghidupkan elemen budaya yang menjadi inspirasi kepada permainan tersebut.
Menurutnya, dapat melihat permainan berkenaan dipaparkan dan menyaksikan pelbagai reaksi orang ramai terhadapnya merupakan sesuatu yang sangat bermakna.
Dah boleh masuk wishlist
Bagi yang sudah tertarik dengan pengembaraan Kaya, Ondeh Ondeh: Kaya’s Tasty Tale kini boleh dimasukkan dalam senarai permainan yang diingini (wishlist) di Steam, selain dirancang untuk platform PlayStation 5 dan Xbox Series X|S.
Dengan gabungan elemen permainan, muzik dan budaya Asia Tenggara, Ondeh Ondeh: Kaya’s Tasty Tale pastinya menjadi antara karya tempatan yang menarik untuk diperhatikan, terutama bagi peminat permainan video yang ingin melihat bagaimana identiti serantau diterjemahkan ke dalam dunia permainan.
Reaksi netizen turut mencuri perhatian
Dalam pada itu, kemunculan Ondeh Ondeh: Kaya’s Tasty Tale turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang tidak menyembunyikan rasa bangga melihat karya tempatan diketengahkan di pentas antarabangsa.
Ramai yang memberikan sokongan terhadap usaha pasukan di sebalik permainan berkenaan, khususnya kerana ia mengetengahkan elemen budaya Asia Tenggara dalam bentuk yang dekat dengan dunia permainan video.
Kehadiran permainan tersebut dalam Nintendo Direct juga dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan buat industri permainan video tempatan, selain membuka peluang untuk lebih ramai pemain mengenali karya yang dihasilkan oleh pembangun dari Malaysia.
Dengan sambutan dan perhatian yang diterima, ramai pastinya tidak sabar untuk melihat perkembangan seterusnya Ondeh Ondeh: Kaya’s Tasty Tale sebelum permainan tersebut dilancarkan sepenuhnya.

