Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gempa Venezuela: Angka Korban Cecah 1,400
Operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela memasuki fasa paling kritikal apabila angka kematian meningkat kepada 1,430 orang.
Manakala, harapan untuk menemui lebih ramai mangsa yang masih hidup semakin tipis selepas lebih 72 jam bencana itu berlaku, lapor AFP.
Pasukan penyelamat dari dalam dan luar negara kini berlumba dengan masa untuk mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, ketika puluhan ribu lagi dilaporkan masih hilang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa lebih 50,000 orang masih belum ditemui, sekali gus membayangkan angka korban dijangka terus meningkat.
Dalam perkembangan sama, penerbangan pertama membawa bantuan kemanusiaan dari Amerika Syarikat (AS) telah tiba di Caracas.
Gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang menggegarkan negara itu pada Rabu lalu menyebabkan kemusnahan besar, terutama di kawasan pantai La Guaira, utara Caracas.
Pakar menjelaskan tempoh 72 jam pertama selepas bencana merupakan masa paling penting untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup. Selepas tempoh itu, operasi lazimnya bertukar kepada usaha mengeluarkan mayat.
Seorang anggota bomba dari Australia, Craig Demeillon, yang datang secara sukarela dari Miami untuk membantu operasi menyelamat berkata keadaan di lokasi bencana masih huru-hara.
Seorang anggota penyelamat dari El Salvador pula mengakui kebanyakan mangsa yang masih tertimbus berkemungkinan telah meninggal dunia, namun berharap masih ada keajaiban.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), sehingga 6.76 juta penduduk berkemungkinan terjejas akibat bencana itu.
Mereka memerlukan bantuan kecemasan termasuk tempat perlindungan sementara, bekalan air bersih, kemudahan sanitasi, perkhidmatan kesihatan, perlindungan serta pelbagai keperluan asas.
Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez, memaklumkan selain 1,430 kematian, seramai 3,238 orang cedera.
PBB pula menganggarkan kerugian fizikal akibat gempa itu mencecah AS$6.7 bilion, bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Venezuela.
Bencana itu turut mencetuskan kemarahan rakyat terhadap tindak balas pihak berkuasa yang disifatkan terlalu lambat.
Seorang wanita, Yessica Mendoza, berkata beliau bersama ahli keluarga terpaksa mengeluarkan sendiri mayat anak perempuannya, Yesimar Rodriguez, 25, serta menantunya, Jhomel Anaya, 26, daripada runtuhan rumah mereka selepas tiada bantuan tiba.
"Kami sendiri yang mengeluarkan mereka. Tiada siapa datang membantu," katanya.
Beliau berkata kedua-dua mangsa terpaksa dikebumikan secara segera tanpa upacara penghormatan terakhir kerana keadaan mayat yang semakin reput.
Kerajaan Venezuela turut menghadkan akses ke negeri La Guaira dengan mengerahkan tentera mengawal kawasan terbabit.
Semua sukarelawan diwajibkan mendapatkan permit khas sebelum dibenarkan memasuki zon bencana. Ia sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang mahu membantu.
"Sampai nak selamatkan nyawa pun perlukan permit. Cuba bayangkan," kata seorang sukarelawan, Carlos Itriago.
Seorang lagi sukarelawan, Ezequiel Rivero, berkata beliau sudah menunggu sejak awal pagi untuk mendapatkan permit.
"Semakin lama kami menunggu, semakin banyak nyawa yang mungkin telah hilang," katanya.
Pemimpin sementara Venezuela yang disokong AS, Delcy Rodriguez, memaklumkan beliau telah berbincang dengan Presiden AS, Donald Trump, serta Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang menegaskan komitmen Washington untuk membantu operasi kemanusiaan.
AS menghantar lebih 250 anggota pasukan tindak balas bencana, termasuk tiga unit khas mencari dan menyelamat bersama anjing pengesan mangsa.
Selain itu, sebanyak 21 negara turut menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke Venezuela.
Sementara itu, sebuah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar kini kembali beroperasi sebahagiannya bagi membolehkan pesawat tentera C-17 AS membawa masuk bantuan, manakala sebuah kapal tentera laut turut tiba di perairan negara itu.
Gempa bumi ini disifatkan sebagai yang paling dahsyat melanda Venezuela dalam tempoh lebih 100 tahun.
Bencana itu berlaku ketika negara pengeluar minyak tersebut masih bergelut dengan kemelesetan ekonomi yang berlarutan lebih sedekad. Selain itu, kemerosotan sistem kesihatan awam serta peralihan politik selepas bekas pemimpin Nicolas Maduro digulingkan awal tahun ini.
Antara mangsa yang terkorban ialah 28 warga Portugal, lima warga Sepanyol, tujuh warga China, dua warga Brazil, seorang warga Chile, seorang warga Itali-Venezuela dan seorang warga Uruguay.