CYBERJAYA, 27 Ogos 2026 – #GenBajet2027 mencapai kemuncaknya semalam dengan mengetengahkan idea dan cadangan penyelesaian daripada golongan belia yang berpotensi menjadi input kepada pembentukan Belanjawan 2027, khususnya dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini menyediakan platform kepada generasi muda Malaysia untuk menyuarakan pandangan serta mengemukakan idea dasar bagi menangani isu dan cabaran semasa negara, selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), khususnya teras Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P), di samping memberi ruang kepada golongan belia untuk menyumbang pandangan dan idea terhadap pembangunan ekonomi negara.
Tujuh Teras Penyelesaian Belia
#GenBajet2027 terbuka kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), yang boleh menyertai secara individu.
Idea yang diketengahkan merangkumi tujuh teras penyelesaian belia, iaitu Pendidikan dan TVET, Keusahawanan, Belia, Pendigitalan, Keselamatan, Sosial serta Pemilikan Aset.
Antara idea yang diketengahkan para finalis menyentuh aspek solusi AI dan teknologi hijau, transformasi model TVET, perlindungan belia dalam ekonomi gig serta pembiayaan mikro untuk usahawan, yang mencerminkan keperluan generasi muda terhadap perubahan teknologi, kemahiran, perlindungan ekonomi dan akses kepada peluang perniagaan.
Idea berkaitan AI dan teknologi hijau turut mencerminkan potensi bidang berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, “High Growth High Value” (HGHV) yang semakin penting dalam membentuk landskap ekonomi masa depan.
Dinilai Berdasarkan Impak Dan Kebolehlaksanaan
Sebanyak 75 penyertaan diterima sepanjang tempoh pertandingan sebelum melalui proses saringan dan penilaian panel juri. 10 peserta terbaik kemudiannya dipilih sebagai finalis untuk membentangkan idea serta cadangan penyelesaian di hadapan panel juri pada peringkat akhir.
Bagi memastikan cadangan yang dikemukakan mempunyai nilai sebagai input dasar, penyertaan dinilai berdasarkan enam kriteria utama oleh panel juri yang terdiri daripada wakil
Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengajian Tinggi dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan memberi tumpuan kepada kreativiti, impak, kepraktikalan dan kebolehlaksanaan idea, termasuk potensinya untuk diaplikasikan dalam ekosistem ekonomi awam dan pasaran global.
Bagi peserta yang disenarai pendek, video elevator pitch turut dinilai berdasarkan Kandungan dan Relevansi (40 peratus), Kreativiti dan Kejelasan (25 peratus), Daya Tarikan Visual (20 peratus) serta Interaksi atau engagement (15 peratus sebagai bonus pilihan).
Panel juri terdiri daripada Dato' Norashiken binti Haji Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Strategik), ICU Jabatan Perdana Menteri; Dr. Hj. Hisham Kamal bin Othman Kamal, Timbalan Pengarah II, Bahagian Pembangunan Ekuiti, Kementerian Ekonomi; Puan Intan Yusmahani binti Md Yunos, Pasukan Belanjawan 2027, Kementerian Kewangan; Puan Kamaliah binti Basir, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); serta En. Nik Nazree Nik Abdul Rahman, Pengarah Kanan Perkhidmatan Strategik, TERAJU selaku Pengerusi Panel Juri #GenBajet2027.
Auditor bebas turut terlibat bagi memastikan proses penilaian dan pemilihan dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti.
Belia Perlu Menjadi Sebahagian Daripada Pembentukan Dasar
Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, berkata #GenBajet2027 membuktikan bahawa golongan belia mempunyai peranan penting dalam menyumbang idea dan perspektif baharu kepada pembentukan dasar negara.
“Daripada 75 penyertaan yang diterima, 10 idea terbaik telah dipilih untuk dibentangkan pada peringkat akhir #GenBajet2027. Ini menunjukkan bahawa anak muda bukan sekadar memahami cabaran yang mereka hadapi, tetapi mampu mengemukakan penyelesaian yang praktikal dan relevan kepada keperluan ekonomi negara.
“Belia tidak seharusnya dilihat hanya sebagai penerima manfaat dasar, tetapi sebagai rakan dalam membentuk masa depan ekonomi Malaysia. Pandangan mereka dalam bidang seperti TVET, keusahawanan, pendigitalan, perlindungan sosial dan pemilikan aset penting dalam membantu Kerajaan merangka dasar yang lebih responsif, inklusif dan berpandangan jauh, selari dengan aspirasi PuTERA35.”
TERAJU Perkasa Suara Generasi Muda
Encik Nik Nazree Nik Abdul Rahman, Pengarah Kanan Perkhidmatan Strategik, TERAJU berkata #GenBajet2027 bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk membina keyakinan dan keupayaan belia dalam menyumbang kepada agenda pembangunan ekonomi.
“#GenBajet2027 memberi ruang kepada anak muda untuk berfikir secara kritikal mengenai cabaran yang mereka hadapi dan mencadangkan penyelesaian yang berpotensi membawa impak. Kita melihat keberanian dan kreativiti peserta dalam mengetengahkan idea, khususnya melalui tujuh teras yang berkait rapat dengan pembangunan belia dan masa depan Bumiputera.
“Bagi TERAJU, penglibatan belia amat penting untuk memastikan agenda transformasi ekonomi Bumiputera terus relevan dengan perubahan landskap ekonomi dan keperluan generasi akan datang. Aspirasi PuTERA35 memerlukan penyertaan aktif seluruh ekosistem, termasuk generasi muda.”
Pemenang #GenBajet2027

Acara kemuncak hari ini turut menyaksikan pengumuman pemenang #GENBAJET2027.
Ahmad Huzairy bin Zaharuddin dari Universiti Sains Malaysia (USM), yang mengemukakan cadangan MySkill ID – Akaun Aset Kemahiran Digital Nasional Berasaskan AI, dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama sebanyak RM5,000.
Tempat kedua dimenangi oleh Ahmad Muqri Johari Bin Abdul Mukmin dari Universiti Malaya (UM), yang mengemukakan cadangan DataMadani GreenSkills: Pemetaan Kemahiran AI– TVET Bersepadu & Pas Kemahiran Digital Berkelanjutan Bagi Memperkasakan Modal Insan Bumiputera, dengan hadiah sebanyak RM3,000.
Sementara itu, Ahmad Fariz Soon bin Muhammad Zulkifli Soon dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor (Kampus Segamat), yang mengemukakan cadangan Membangunkan Kerangka Bidaan Pintar untuk Memperkasa Pekerja Digital dan Meningkatkan Daya Saing Ekonomi Gig Malaysia, menduduki tempat ketiga dan menerima hadiah sebanyak RM2,000.
Sebanyak tujuh hadiah sagu hati, bernilai RM500 setiap satu, turut diberikan sebagai penghargaan kepada peserta yang mengemukakan idea-idea kreatif.
Sebagai penghargaan kepada semua peserta, setiap peserta #GenBajet2027 turut menerima wang tunai sebanyak RM100.
#GenBajet2027 membuktikan bahawa golongan belia mempunyai pandangan dan idea yang boleh menyumbang kepada perbincangan mengenai masa depan ekonomi negara. Dengan mengetengahkan cadangan yang tersusun dan berorientasikan penyelesaian, inisiatif ini memberi ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan perspektif mereka terhadap isu yang akan mempengaruhi masa depan Malaysia.

