Selepas seharian bekerja dan berdepan dengan pelbagai tekanan, duduk di sofa sambil membeli kucing kesayangan mungkin menjadi salah satu cara paling mudah untuk menenangkan diri.
Bagi pencinta kucing, perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana kehadiran haiwan berbulu tersebut sememangnya boleh membuatkan kita berasa lebih tenang dan gembira.
Tapi, tahukah anda bela kucing mungkin lebih daripada sekadar memberi ketenangan tapi juga untuk kesihatan?
Beberapa kajian mendapati pemilikan haiwan peliharaan, termasuk kucing ada kaitan dengan kesihatan jantung yang lebih baik, termasuk tekanan darah yang lebih rendah dan risiko penyakit kardiovaskular yang berkurangan.
Risiko Masalah Jantung Rendah Bagi Pemilik Kucing
Satu Kajian yang diterbitkan pada 2009 dalam Journal of Vascular and Interventional Neurology mendapati pemilik kucing mempunyai risiko kematian akibat serangan jantung, penyakit kardiovaskular dan strok lebih rendah berbanding individu lain yang tidak pernah memelihara kucing.
Penyelidik turut mengambil kira beberapa faktor seperti umur, jantina, tabiat merokok, diabetes, paras kolestrol dan indeks jisim badan (BMI) sebelum membuat perbadningan antara kedua-dua kumpulan.
Menariknya, manfatt tersebut turut dilihat dalam kalangan individu yang pernah memelihara kucing tetapi tidak lagi mempunyai kucing di rumah.
Ini menunjukkan bahawa kaitan antara memelihara kucing dengan kesihatan jantung mungkin bukan semata-mata disebabkan oleh keadaan semasa seseorang tinggal bersama haiwan tersebut.
Bela Kucing Untuk Kesihatan, Mungkin Boleh Bantu Kurangkan Tekanan
Kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal Hypertension pula melihat hubungan antara pemilikan haiwan peliharaan dengan tekanan darah, di mana kajian ini melibatkan individu dengan pekerjaan yang bertekanan tinggi dan mengalami tekanan darah tinggi.
Walaupun kesemua peserta menerima ubat untuk mengawal tekanan darah, mereka yang mempunyai haiwan peliharaan menunjukkan tindak balas tekanan darah yang lebih rendah apabila berdepan tekanan mental.
Dalam erti kata mudah, mempunyai haiwan peliharaan mungkin membantu tubuh menguruskan tekanan dengan lebih baik.
Selain itu, kenyataan saintifik daripada American Heart Association (AHA) turut merujuk kepada beberapa kajian yang menunjukkan pemilik anjing atau kucing mempunyai tekanan darah yang lebih rendah berbanding individu yang tidak mempunyai haiwan peliharaan.
Satu kajian terhadap pesakit yang pernah mengalami serangan jantung juga mendapati pemilik anjing atau kucing mempunyai kadar perubahan denyutan jantung yang lebih baik, yang dikaitkan dengan risiko kematian akibat masalah jantung yang lebih rendah.
Walaupun kajian-kajian ini menunjukkan kaitan antara pemilikan haiwan peliharaan dengan kesihatan jantung, ia tidak bermaksud membela kucing boleh menggantikan rawatan atau mencegah penyakit jantung secara langsung.
Namun, kehadiran kucing mungkin memberikan satu lagi manfaat yang tidak disedari pemiliknya, terutama melalui kesan menenangkan dan pengurangan tekanan.
Jadi, kalau selama ini anda membela kucing kerana suka melihat keletahnya, sekurang-kurangnya sekarang ada satu lagi sebab untuk menghargai si bulus di rumah.

