Georgina Rodriguez tampil dengan barang kemas bernilai kira-kira AS$50 juta (RM203 juta) pada hari perkahwinannya dengan Cristiano Ronaldo dalam satu majlis intim di Portugal pada 11 Ogos lalu.
Memetik Page Six, walaupun pasangan itu memilih untuk berkahwin di ruang tamu rumah mereka sahaja, penampilan Georgina tetap mewah dengan koleksi berlian daripada Chopard.
Georgina dilapor mengenakan lebih 250 karat berlian daripada koleksi paling berharga milik jenama barang kemas dari Perancis itu.
Barang kemas yang menjadi tumpuan pada penampilan Georgina ialah rantai leher Chopard Garden of Kalahari, dihiasi berlian utama 50 karat berkualiti D-flawless serta lebih 146 karat berlian kecil.
Rantai leher tersebut sebelum ini pernah dipakai Beyoncé ketika menghadiri Met Gala 2025, namun penyanyi itu tidak mengenakan tiga loket berbentuk “kelopak” yang datang bersama rantai leher berkenaan.
Georgina pula memakai dua daripada loket tersebut sebagai subang, dengan satu daripadanya dihiasi berlian berbentuk pear 25 karat, manakala satu lagi menampilkan berlian berbentuk hati 26 karat.
Jika digabungkan, rantai leher dan ketiga-tiga loket tersebut dianggarkan bernilai sekitar AS$50 juta (RM202 juta).
Georgina Sarung Barang Kemas Dari Chopard
Georgina turut memakai cincin pertunangannya yang besar pada hari perkahwinan mereka, dengan nilai dianggarkan sekitar AS$5 juta (RM20 juta) dan mempunyai berlian lebih 30 karat.
Dalam sesi penggambaran bersama Vogue, Georgina turut dilihat memakai gelang tangan yang dihiasi dua berlian potongan emerald masing-masing seberat 21 dan 14.7 karat, bersama 13.1 karat berlian tambahan.
Dia turut memakai sebentuk cincin dengan berlian potongan cushion seberat 20 karat serta 6.9 karat berlian tambahan.
Menariknya, rantai leher, subang dan gelang tangan tersebut semuanya daripada koleksi Garden of Kalahari.
Koleksi itu dihasilkan daripada sebutir berlian dikenali sebagai Queen of Kalahari yang mempunyai berat 342 karat.
Berlian tersebut mengambil masa setahun untuk dipotong dan menghasilkan 23 berlian berasingan.
Georgina turut memilih sebentuk cincin daripada koleksi Haute Joaillerie yang dihiasi berlian potongan pear dan marquise dengan jumlah keseluruhan 5.7 karat.
Untuk cincin perkahwinan pula, pasangan itu memilih sesuatu yang lebih ringkas dengan memakai cincin emas polos.
Cristiano dan Georgina berkahwin pada ulang tahun ke-10 dimana mereka kali pertama bertemu di sebuah kedai Gucci di Madrid, tempat Georgina bekerja ketika itu.
Bercakap kepada Vogue, Georgina berkata mereka sengaja memilih ruang tamu rumah sebagai lokasi perkahwinan kerana itulah tempat mereka menghabiskan masa bersama setiap hari.
Katanya, mereka bersarapan, makan tengah hari dan makan malam di ruang tersebut, selain menjalani rutin harian bersama sebagai sebuah keluarga.
“Saya mahu sesuatu yang intim, bersama pasangan dan anak-anak saya di rumah.
“Kerana istana, rumah, pulau, kuda dan kereta semuanya boleh kami nikmati setiap hari. Tetapi sesuatu yang intim, itu lebih luar biasa bagi kami,” katanya.
Bagaimanapun, Georgina memberi bayangan bahawa mereka mungkin akan mengadakan majlis perkahwinan yang lebih besar pada masa akan datang.

