Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

GLASGOW, 31 Julai (Bernama) -- Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MWF) mencipta sejarah apabila dianugerahkan Trofi Trafalgar selepas skuad lelaki negara muncul pasukan angkat berat terbaik pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Anugerah berprestij itu disampaikan pada Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Komanwel (CWF) yang berlangsung di sini hari ini.
Trofi berkenaan disampaikan Presiden Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) Mohammed Jalood dan Pemangku Presiden CWF Tom Liaw kepada Presiden MWF Datuk Ayub Rahmat, sambil disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia Datuk Dr Nur Azmi Ahmad.
Presiden CGA Malaysia yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merakamkan ucapan tahniah kepada MWF, khususnya Ayub, atas pencapaian bersejarah itu.
“Bagi pihak CGA Malaysia dan seluruh keluarga Sukan Komanwel, kami merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia serta Ayub Rahmat atas sumbangan cemerlang skuad angkat berat kepada kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Kami turut berbangga dengan pencapaian luar biasa ini apabila mereka dianugerahkan Trofi Trafalgar buat julung kalinya dalam sejarah,” katanya menerusi hantaran di Facebook MOM.
Malaysia menerima penghormatan itu selepas mengungguli acara angkat berat lelaki dengan meraih lima pingat emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali (94kg).
Trofi Trafalgar diperkenalkan pada Sukan Komanwel Ke-11 di Edmonton, Kanada, pada 1978 dan dinamakan sempena Pertempuran Trafalgar pada 1805 sebagai sebahagian daripada tradisi sukan angkat berat Komanwel.
Anugerah itu diberikan kepada pasukan angkat berat lelaki terbaik pada setiap edisi Sukan Komanwel.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan