Gunung Ibu di Maluku Utara, Indonesia kembali meletus pada Khamis sekitar jam 10.07 pagi waktu Indonesia Timur (WIT)
Badan Geologi memaklumkan bahawa letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 28 milimeter dan berlangsung selama 48 saat.
Susulan itu, penduduk dan pelancong di sekitar gunung berapi terbabit dinasihatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam radius dua kilometer serta kawasan perluasan sektor sejauh 3.5 kilometer ke arah bukaan kawah di bahagian utara kawah aktif Gunung Ibu.
“Sekiranya berlaku hujan abu, orang ramai yang berada di luar rumah dinasihatkan menggunakan pelindung hidung dan mulut seperti pelitup muka serta memakai cermin mata bagi melindungi mata.
“Semua pihak diminta memastikan keadaan dalam kalangan masyarakat kekal terkawal, tidak menyebarkan maklumat palsu atau terpengaruh dengan isu yang tidak mempunyai sumber jelas,” katanya di X.
Sementara itu, pemerintah Kabupaten Halmahera Barat dinasihatkan supaya sentiasa berkoordinasi dengan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) di Bandung atau Pos Pengamatan Gunung Ibu di Gam Ici bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti gunung berapi itu.
Terdahulu, Gunung Ibu merupakan antara empat gunung berapi di Indonesia yang dilaporkan meletus serentak pada Ahad lalu.
