Gunung berapi Ili Lewotolok di Kabupaten Lembata, Nusa Tenggara Timur, Indonesia kembali mengalami beberapa siri letusan dalam tempoh 48 jam, dengan letusan terkuat direkodkan pada pagi Ahad.
Letusan pada jam 6.41 pagi waktu Indonesia Tengah (WITA) itu menghasilkan kolum abu setinggi kira-kira 600 meter dari puncak gunung, atau mencecah 2,023 meter dari aras laut.
Kolum abu berwarna kelabu tebal itu dilihat bergerak ke arah tenggara dan direkodkan seismograf dengan amplitud maksimum 40 milimeter, selain berlangsung selama kira-kira 82 saat.
Sebelum itu, pada jam 6.11 pagi hari sama, satu lagi letusan berlaku dengan kolum abu setinggi 400 meter dari puncak.
Abu berwarna kelabu tebal daripada letusan berkenaan bergerak ke arah barat dan direkodkan berlangsung selama kira-kira 40 saat.
Pada Sabtu pula, dua letusan turut berlaku masing-masing pada jam 6.51 pagi dengan ketinggian abu 500 meter dan jam 7.02 pagi setinggi 400 meter, dengan kedua-duanya bergerak ke arah barat.
Petugas Pos Pemantauan Gunung Api Ili Lewotolok, Khairul Imam Tarmizi berkata, letusan berlaku berulang kali dengan tahap keamatan yang berbeza.
Menurutnya, kolum abu kelihatan berwarna kelabu, agak tebal dan dapat dilihat dengan jelas dari pos pemantauan.
“Aktiviti gunung berapi masih berlangsung dan perlu dipantau secara rapi,” katanya dalam kenyataan bertulis pada Ahad pagi, seperti dipetik CNN Indonesia.
Susulan aktiviti berkenaan, Badan Geologi dan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) mengeluarkan saranan supaya penduduk serta pelancong tidak memasuki kawasan sekitar Gunung Ili Lewotolok dalam radius dua kilometer dari kawah.
Larangan turut diperluaskan sehingga tiga kilometer di sektor selatan dan tenggara gunung berkenaan.
Tarmizi turut mengingatkan penduduk dan pelancong supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya guguran lava, tanah runtuh dan awan panas, khususnya di sektor selatan, tenggara, barat dan timur laut.
Orang ramai juga dinasihatkan memakai pelitup muka dan pelindung mata bagi mengurangkan risiko gangguan pernafasan serta iritasi akibat abu gunung berapi.
Selain itu, bekas atau tempat penyimpanan air bersih perlu ditutup bagi mengelakkan pencemaran akibat abu vulkanik.
Kerajaan daerah dan penduduk setempat turut diminta terus berkoordinasi dengan Pos Pemantauan Gunung Api Ili Lewotolok di Desa Laranwutun, Kecamatan Ile Ape bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai aktiviti gunung berapi berkenaan.

