Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hampir 100 Jam Siaran, RTM Jadi Penyiar Rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026

RTM Sukan Komanwel Glasgow 2026
Kredit RTM/Commonwealth Sport

Hampir 100 Jam Siaran, RTM Jadi Penyiar Rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

RTM menerusi kenyataan media berkata pihaknya menyambung momentum kejayaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 yang tamat Isnin lalu.

Menurutnya, RTM akan membawa liputan siaran langsung aksi atlet negara di persada antarabangsa menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik termasuk media sosial rasmi RTM dan turut disiarkan melalui saluran Sukan+ di platform Astro 806.

Kredit: RTM

"RTM dijadualkan membuat liputan menyeluruh acara berprestij ini bermula dengan Upacara Pembukaan yang disiarkan pada awal pagi hingga ke Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026.

"Sepanjang tempoh berlangsungnya temasya ini juga RTM menyiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia dua sesi siaran langsung laporan harian, tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian selama sejam.

"Secara keseluruhannya RTM akan memberikan penonton hampir 100 jam jumlah siaran bagi memberikan pengalaman mengikuti acara-acara yang berlangsung di Glasgow, Scotland," katanya.

RTM berkata dua sesi siaran langsung laporan harian iaitu sesi pagi bermula 24 Julai hingga 2 Ogos 2026, pukul 6.00 petang hingga 9.00 malam dan diikuti sesi petang mulai 25 Julai hingga 2 Ogos 2026, pukul 1.00 pagi hingga 4.00 pagi.

Masing-masing tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian mulai 25 Julai hingga 3 Ogos selama sejam iaitu pukul 2.00 hingga 3.00 petang.

"Siaran langsung Grandstand Upacara Pembukaan temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada 24 Julai ini, pukul 2.30 hingga 5.30 pagi menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik dan saluran Sukan+ di platform Astro 806.

"la bakal dikemudikan oleh tiga hos bertenaga, Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie.

"Gandingan ketiga-tiga hos ini memikul tanggungjawab besar dalam menjayakan Grandstand bagi membawakan ulasan sepanjang berlangsungnya siaran langsung majlis pembukaan temasya sukan yang dinantikan empat tahun sekali ini," kata RTM lagi.

Dalam pada itu, Grandstand Upacara Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026 pula dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos depan, pukul 2.30 hingga 5.30 pagi menerusi saluran Sukan di platform MYTV 111, RTMKlik dan saluran Sukan di platform Astro 806.

Kredit: Commonwealth Sport

la bakal menampilkan kekuatan tiga hos wanita berpengalaman Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim.

"RTM memanfaatkan reputasi baik diterima daripada penonton di pentas Piala Dunia baru-baru ini untuk menggalas tugas mengemudi Grandstand Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026 pula," ujarnya.

Sementara itu, kontinjen Malaysia bakal diketuai oleh Chef de Mission, Yang Berbahagia Datuk Awalan Abdul Aziz dan dibarisi seramai 59 atlet, terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para, akan bersaing dalam 64 acara melibatkan lapan daripada keseluruhan 10 jenis sukan yang dipertandingkan.

Antara sukan disertai ialah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3x3 dan bola keranjang kerusi roda 3x3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang, serta olahraga dan para olahraga.

Sasaran kontinjen negara tahun ini untuk membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa, berdasarkan potensi atlet serta prestasi semasa yang dipamerkan menjelang temasya.