Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hampir 7 Daripada 10 Pengembara Merancang Percutian Bukan Berdasarkan Destinasi Semata-mata

HAMPIR

Hampir 7 Daripada 10 Pengembara Merancang Percutian Bukan Berdasarkan Destinasi Semata-mata

Meskipun melalui kenaikan harga bahan api dan tekanan kos sara hidup berterusan yang meningkatkan kos perjalanan di seluruh Asia Pasifik (APAC), hampir separuh (45%) pengembara Malaysia kekal yakin untuk melakukan perjalanan santai pada separuh kedua 2026. Ini mencerminkan pendekatan yang lebih teliti dalam cara mereka merancang dan menikmati perjalanan. 

Dapatan terbaharu Klook Travel Pulse 2026 (Edisi Separuh Kedua) menunjukkan bahawa pengembara Malaysia merupakan antara perancang perjalanan yang paling mengutamakan pengalaman di rantau ini, dengan hampir tujuh daripada 10 pengembara (69%) tidak lagi memulakan perancangan mereka dengan memilih destinasi.

Malaysia juga mencatatkan antara kadar memburu tawaran tertinggi di Asia Tenggara, iaitu 55%, mengatasi beberapa pasaran serantau termasuk Singapura (47%), Thailand (51%) dan Indonesia (35%). Dapatan ini menunjukkan bahawa semakin ramai pengembara Malaysia mengutamakan pengalaman sambil mencari pilihan yang menawarkan nilai terbaik.

Peralihan ke arah perjalanan yang lebih terancang ini turut dapat dilihat menerusi cara rakyat Malaysia merancang dan berbelanja: 

  • Penjimatan bijak: 1 dalam 2 pengembara (50%) memilih untuk membuat tempahan lebih awal bagi mendapatkan harga yang lebih baik dan mengelakkan kenaikan harga ketika musim puncak. 

  • Kualiti mengatasi kuantiti: Satu pertiga pengembara Malaysia (33%) mungkin memilih untuk melakukan lebih sedikit perjalanan dalam tempoh enam bulan lalu, namun mereka meluangkan lebih banyak masa untuk memilih perjalanan yang benar-benar sesuai. 

Bagi menyokong trend perjalanan yang semakin mengutamakan pengalaman, rakyat Malaysia terus menggunakan teknologi sebagai sumber inspirasi. Lebih separuh rakyat Malaysia (53%) menggunakan AI untuk menemui destinasi, tarikan atau pengalaman baharu.

Daripada membantu menguruskan keperluan perjalanan dalam masa nyata hingga menemukan lokasi menarik yang kurang diketahui, AI kini menjadi teman perjalanan penting dalam beberapa aspek: 

  • Bantuan ketika bercuti (40%): Menggunakan pelbagai alat AI untuk mendapatkan bantuan seperti terjemahan segera dan mengubah jadual perjalanan ketika sedang bercuti. 

  • Lokasi menarik yang kurang diketahui (37%): Meminta AI mencadangkan pengalaman tempatan yang unik dan tidak termasuk dalam laluan pelancongan biasa. 

  • Panduan perjalanan (36%): Menyemak laluan perjalanan atau cara terbaik untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain. 

Walau bagaimanapun, seramai tiga daripada lima pengembara (60%) tetap berhati-hati sebelum membuat pembayaran dengan mendapatkan ulasan yang telah disahkan menerusi platform perjalanan yang dipercayai. Hanya 30% mempercayai cadangan yang dijana oleh AI, manakala seorang daripada dua pengembara (50%) merujuk kepada lembaga pelancongan rasmi atau buku panduan perjalanan sebelum memuktamadkan rancangan mereka. 

Ini menunjukkan bahawa meskipun algoritma AI berupaya mencetuskan inspirasi serta idea perjalanan yang kreatif, pengesahan daripada manusia masih menjadi faktor utama dalam membina keyakinan pengguna.

“Tekanan kos di seluruh APAC pada tahun ini sememangnya nyata. Ia memang mengubah cara orang ramai melancong, cuma bukan seperti yang mungkin dijangkakan,” kata Marcus Yong, Naib Presiden Pemasaran Global Klook

“Majoriti memilih untuk merancang dengan lebih teliti dan bukannya mengurangkan perjalanan. Ini menunjukkan bahawa keinginan untuk melancong kekal kukuh, selain membuktikan bahawa orang ramai tidak mahu berkompromi terhadap pengalaman yang mereka inginkan.” 

Ketika realiti ekonomi terus mempengaruhi tingkah laku pengguna, dapatan ini menunjukkan bahawa perjalanan kini tidak lagi dilihat sekadar sebagai satu kemewahan, sebaliknya sebagai pengalaman bernilai yang wajar dirancang dengan teliti.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 45% pengembara Malaysia kekal yakin melakukan perjalanan santai pada separuh kedua 2026.
  • Klook mendapati 69% pengembara Malaysia tidak lagi memulakan perancangan dengan memilih destinasi.
  • Lebih separuh rakyat Malaysia menggunakan AI, namun ramai masih mengutamakan ulasan disahkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan