Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Honda Dan Nissan Bincang Penggabungan Untuk Muncul Sebagai Pengeluar Kereta Ketiga Terbesar Dunia
TOKYO, 18 Dis (Bernama) — Honda Motor Co dan Nissan Motor Co dilaporkan sedang berbincang mengenai kemungkinan penggabungan yang berpotensi mewujudkan kumpulan pengeluar kenderaan ketiga terbesar dunia daripada segi jumlah pengeluaran.
Langkah ini dibuat di tengah persaingan sengit dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) global, yang kini dikuasai oleh Tesla Inc dari Amerika Syarikat dan pengeluar kenderaan China seperti BYD Co, menurut laporan agensi berita Kyodo yang memetik sumber yang dekat dengan perkara itu.
Penggabungan itu dijangka melibatkan penubuhan sebuah syarikat induk, menurut sumber berkenaan, dengan matlamat membentuk pakatan strategik yang mampu bersaing dengan peneraju industri seperti Toyota Motor Corp dan Volkswagen AG.
Gabungan jualan termasuk Mitsubishi Motors Corp, rakan kongsi Nissan, dianggarkan mencecah sekitar lapan juta kenderaan setahun.
Honda, Nissan dan Mitsubishi mengeluarkan kenyataan bersama yang mengesahkan mereka sedang “mengambil kira pelbagai kemungkinan untuk kerjasama masa hadapan,” tetapi menjelaskan bahawa belum ada keputusan muktamad dibuat.
Honda dan Nissan mula meneroka kerjasama strategik dalam pengeluaran EV dan teknologi perisian awal tahun ini. Perbincangan melibatkan Mitsubishi Motors bermula pada Ogos, dengan fokus pada pengurangan kos dan meningkatkan daya saing.
Ogos lepas, Presiden Honda Toshihiro Mibe berkata perbincangan tidak melibatkan penggabungan modal, walaupun beliau tidak menolak kemungkinan itu di masa hadapan.
Pengeluar kenderaan global menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam mendapatkan dana untuk pembangunan EV, terutamanya disebabkan oleh kos bateri yang tinggi dan sumber meluas yang diperlukan untuk teknologi canggih seperti pemanduan autonomi.
Susulan laporan media mengenai potensi penggabungan itu, dagangan saham Nissan dihentikan sementara oleh Bursa Saham Tokyo pada pagi Rabu. Dagangan disambung semula selepas syarikat-syarikat itu mengeluarkan kenyataan mereka.
Sumber: BERNAMA