Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hujan Lebat Dijangka Badai Kebanyakan Kawasan Malam Ini

Azizah Najib
Hujan lebat
Gambar hiasan. Kredit: Bernama

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan 11 negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 9.00 malam ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi jabatan berkenaan, hampir kebanyakan kawasan di negeri Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka alami hujan lebat.

“Di Kedah, daerah yang diramal terima hujan lebat termasuk Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

“Bagi negeri Perak pula, daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar berkemungkinan dibadai hujan lebat. Begitu juga daerah Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim,” maklum MetMalaysia.

Sementara itu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, cuaca menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Di Terengganu, hanya daerah Hulu Terengganu dan Dungun tersenarai diramal terima hujan lebat sehingga malam ini.

Cuaca di Pahang pula dijangka hujan lebat di kebanyakan kawasan bagi daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Jerantut.

Beralih pula ke Selangor, MetMalaysia menyenaraikan hanya daerah Hulu Selangor, Gombak dan Petaling yang bakal alami hujan lebat.

Dalam pada itu, daerah Jempol di Negeri Sembilan turut tersenarai dalam kenyataan tersebut.

Turun ke Johor, daerah yang dijangka terlibat merupakan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kulai.

Hujan lebat di Sabah, Sarawak

Cuaca di Kepulauan Borneo menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song), termasuk Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang di Sarawak.

Manakala di Sabah pula, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat di daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).

Kredit: MetMalaysia

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas jabatan tersebut.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat agar peka dengan perubahan cuaca dan sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga ketika berada di luar.