Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ibu Bersalin Tanpa Sengaja Dalam Tandas, Bayi Maut Terhempas Atas Lantai

bersalin tandas maut lantai
Gambar AI

Ibu Bersalin Tanpa Sengaja Dalam Tandas, Bayi Maut Terhempas Atas Lantai

Seorang wanita di Singapura yang menyembunyikan kehamilannya daripada keluarga dilapor bersalin secara tidak sengaja di dalam tandas.

Bagaimanapun, proses berkenaan berakhir dengan tragedi selepas bayinya terhempas di atas lantai dan meninggal dunia.

Menurut Mothership SG, kejadian berkenaan dilapor berlaku pada 19 September 2023 dan satu ikuiri telah diadakan pada 2 Disember (Isnin lepas) untuk meneliti kes tersebut.

Difahamkan, inkuiri berkenaan dijalankan bagi membolehkan koroner menentukan sama ada terdapat unsur-unsur lain yang menjadi punca kematian berkenaan.

Wanita bersalin tidak sengaja dalam tandas, bayi maut selepas terjatuh atas lantai

Pada hari kejadian, ibu kepada bayi malang itu dikatakan sedang menggunakan bilik air sebelum bersalin secara tiba-tiba.

Malangnya, bayi tersebut jatuh ke atas lantai, manakala wanita berkenaan pula dikatakan pengsan selepas proses berkenaan.

Selepas beransur-ansur pulih dan sedar, dia bertindak membalut bayi berkenaan dengan tuala dan meletakkannya di dalam sebuah bakul.

Ahli keluarga wanita tersebut kemudian menyedari apa yang berlaku dan segera membawa wanita berkenaan bersama anaknya ke hospital untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan bayi malang berkenaan meninggal dunia, kira-kira 3 petang hari yang sama.

Hasil bedah siasat mendapati bayi tersebut kekurangan zat makanan dan mengalami kecederaan ringan di kulit kepala akibat terjatuh.

Tidak dapat menentukan punca sebenar kematian

Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dikenal pasti, manakala pemeriksaan perubatan tidak dapat menentukan punca sebenar kematian.

Menurut portal Mothership, penelitian ke atas rekod telefon bimbit wanita berkenaan menunjukkan terdapat carian tentang kelahiran bayi pramatang dibuat olehnya sebelum ini.

Rekod berkenaan mencadangkan bahawa wanita itu tidak bersedia dan tidak sedar bahawa dia akan melahirkan bayi yang dikandungnya dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, inkuiri yang dijalankan juga mendapati bahawa wanita itu sangat bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap bayinya.

Ini dapat dibuktikan melalui tindakannya selepas dia tersedar daripada pengsan ketika bersalin.

Ekoran itu, pihak polis menolak kemungkinan kematian bayi berkenaan berpunca daripada jenayah pembunuhan.

Manakala pihak koroner yang menjalankan inkuiri tersebut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga wanita berkenaan.

BACA: Kerosakan Yang Ramai Terlepas Pandang, Ini 5 Tanda “Head Gasket” Kereta Bermasalah

BACA: “Niat Nak Bagi Insaf Sikit,” Kucing Kelabu Sebak Tengok ‘Kawan-kawan’ Jadi Mangsa Banjir

BACA: Wujud Sejak 1918, Ini Fakta Tentang Xylarium Perpustakaan Kayu Tertua & Terbesar Di Malaysia

Sumber: Mothership