Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia merekodkan peningkatan ketara dalam Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia (IKMM) apabila mencapai 61.5 mata pada tahun 2024 berbanding 54.5 mata yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu mencerminkan tahap keterjaminan makanan negara yang semakin baik, didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam aspek kebolehcapaian dan kestabilan bekalan makanan.
Menurut beliau, laporan IKMM yang diterbitkan buat kali pertama itu menilai tahap keterjaminan makanan negara menerusi 25 indikator utama yang merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan.
“Kalau kita lihat dari segi keterjaminan makanan, terdapat empat dimensi utama yang dinilai iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan.
“Bagi dimensi penggunaan, kita tidak mempunyai isu yang besar kerana sekiranya bekalan dalam negara tidak mencukupi, ia masih boleh diperoleh melalui import. Sebab itu prestasi bagi dimensi penggunaan berada pada tahap yang baik.
“Bagaimanapun, dari segi ketersediaan khususnya pengeluaran makanan dalam negara, masih terdapat ruang untuk dipertingkatkan. Justeru, fokus ekonomi pada masa hadapan akan terus memberi penekanan kepada usaha memperkukuh sektor pertanian,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya Malaysia berada pada landasan yang baik dalam aspek keterjaminan makanan, namun usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dan input pertanian dari luar negara perlu diperkukuh.
“Secara umumnya, indeks keterjaminan makanan negara menunjukkan kita berada dalam landasan yang baik, tetapi masih ada ruang untuk terus ditingkatkan terutama dalam mengurangkan import dan juga kebergantungan kepada input pertanian,” katanya.
Mengulas faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor tersebut, Mohd Uzir berkata penggunaan teknologi dalam sektor pertanian menjadi antara pemacu utama kepada perkembangan positif itu.
Katanya, sektor pertanian perlu terus diperkasakan menerusi pendekatan yang lebih mampan, moden dan berorientasikan komersial bagi meningkatkan daya saing industri.
Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan sektor itu wajar dimulakan pada skala kecil sebelum diperluaskan secara berperingkat bagi mengurangkan risiko serta memastikan pertumbuhan yang mampan.
“Apabila saya turun ke lapangan dan bertemu petani, saya melihat semakin banyak peluang yang wujud. Kini semakin ramai usahawan muda menceburi sektor pertanian kerana mereka tidak lagi melihat bidang ini sebagai pekerjaan yang kotor atau sukar.
“Hari ini pertanian semakin dipacu oleh teknologi. Apa yang penting ialah bagaimana aktiviti ini dapat dikembangkan pada skala yang lebih besar dan bersifat komersial. Setiap kejayaan bermula daripada langkah yang kecil sebelum berkembang secara mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sektor pertanian mempunyai potensi ekonomi yang besar dan memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan negara untuk jangka panjang.
Mohd Uzir berkata, IKMM akan menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam memantau pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau turut memaklumkan laporan berkenaan akan terus diperhalusi sebelum dimuktamadkan termasuk melalui penambahbaikan kandungan serta pembangunan papan pemuka digital bagi memudahkan orang ramai mendapatkan akses kepada data keterjaminan makanan negara.
Menyentuh perkembangan di peringkat global, beliau berkata isu keterjaminan makanan masih menjadi cabaran utama dunia.
Menurut laporan The State of Food Security and Nutrition in the World (SOFI) 2024, dianggarkan seramai 673 juta penduduk dunia berdepan masalah kelaparan, manakala lebih 2.3 bilion lagi mengalami ketidakjaminan makanan pada tahap sederhana hingga serius.