Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TH Saran Bakal Jemaah Haji 2027, 2028 Buat Persediaan Awal

TH
Kredit: Bernama

TH Saran Bakal Jemaah Haji 2027, 2028 Buat Persediaan Awal

Lembaga Tabung Haji (TH) menggesa bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan lebih awal bagi memastikan urusan menunaikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lancar apabila tiba giliran masing-masing.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata persediaan itu merangkumi aspek kesihatan, kewangan, kemas kini maklumat peribadi serta penguasaan ilmu fardu ain dan ibadah haji.

Menurut TH, persediaan yang rapi penting bagi memenuhi syarat kemampuan (istito'ah), sekali gus melayakkan bakal jemaah menerima surat tawaran menunaikan haji apabila tiba giliran.

“Bakal jemaah digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal serta meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan yang tinggi dalam persekitaran sesak, cuaca panas dan berdebu.

“Jemaah haji dijangka berjalan kira-kira 10,000 langkah atau sekitar tujuh kilometer setiap hari ketika melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina,” katanya.

Dalam pada itu, TH turut mengingatkan bakal jemaah supaya membuat simpanan secara konsisten kerana sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum untuk melayakkan seseorang menerima surat tawaran haji.

Menurutnya, syarat berkenaan yang mula diperkenalkan pada musim haji 1447H/2026M telah menunjukkan kesan positif terhadap tahap kesiapsiagaan bakal jemaah.

TH berkata, walaupun kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum dimuktamadkan, kos musim haji 1447H/2026M iaitu RM33,300 seorang boleh dijadikan panduan awal untuk merancang simpanan.

Bagi memudahkan pendeposit menabung secara berkala, TH menyediakan kemudahan potongan gaji serta potongan terus daripada akaun bank (direct debit) menerusi aplikasi THiJARI.

Selain itu, Kursus Asas Haji bagi membantu bakal jemaah dan orang awam mendalami ilmu berkaitan ibadah haji dijadual bermula pada 25 September depan.

TH turut mengingatkan bakal jemaah supaya memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa masih sah serta mengemas kini maklumat peribadi melalui aplikasi THiJARI atau di mana-mana cawangan TH bagi memudahkan urusan perhubungan.

Menurut TH, orang ramai juga disaran mengikuti laman web dan saluran media sosial rasmi Tabung Haji untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan haji.

“Makluman peringatan awal akan disampaikan menerusi aplikasi THiJARI, pesanan SMS dan e-mel rasmi TH.

“Surat tawaran rasmi untuk menunaikan haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.