Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa pihak lawan menggunakan pendekatan berasaskan hasutan, fitnah dan janji yang tidak realistik bagi mempengaruhi pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Menerusi satu hantaran video di Facebook hari ini, beliau berkata taktik sedemikian bukan perkara baharu, malah pernah digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.
Menurut beliau, rakyat Johor kini lebih matang dan tidak mudah terpedaya dengan pendekatan yang sama.
“Sedar tak sedar, sudah seminggu kita berkempen untuk PRN Johor. Seperti yang kita jangkakan, pihak lawan menggunakan strategi hasutan, fitnah dan janji bulan dan bintang untuk meraih undi daripada Bangsa Johor.
“Namun saya percaya dengan sepenuh hati bahawa Bangsa Johor tidak mudah diperdaya kerana kita telah mengalami suasana yang sama pada tahun 2018 dan juga 2022, apabila mereka menggunakan strategi yang sama untuk menghasut dan meraih undi,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menggesa rakyat Johor supaya terus memberi keutamaan kepada usaha membangunkan negeri dan tidak terpengaruh dengan dakwaan atau janji yang disifatkannya tidak berasas.
Beliau berkata, pelbagai pencapaian telah direkodkan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri dan usaha tersebut perlu diteruskan demi masa depan Johor.
“Sama-samalah kita fokus kembali untuk membangunkan negeri Johor yang kita cintai. Banyak yang telah kita capai.
“Jangan kita gadaikan masa depan Johor dengan fitnah, hasutan dan janji bulan bintang yang mereka taburkan. Sama-samalah kita membina masa depan Johor yang lebih baik,” katanya.