Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia No. 1, Ramai Terkejut Malaysia Tiada Dalam Senarai
Sikap ramah dan mesra penduduk tempatan sering menjadi antara perkara pertama yang diingati oleh pelancong apabila mengunjungi sesebuah negara.
Baru-baru ini, tular tinjauan antarabangsa yang dijalankan menerusi Expat Insider Survey 2025 meletakkan Indonesia sebagai negara paling mesra di dunia. Negara itu sekali gus mengatasi banyak negara lain yang terkenal sebagai destinasi pelancongan global.
Bukan hanya Indonesia, beberapa negara Asia Tenggara turut tersenarai dalam kelompok 10 terbaik.
Berdasarkan tinjauan tersebut, Indonesia menduduki tempat pertama sebagai negara paling mesra di dunia pada tahun 2025.
Menurut Seasia Stats, pengiktirafan itu diberikan hasil reputasi rakyat Indonesia yang terkenal dengan layanan baik, nilai kemasyarakatan yang kukuh serta suasana yang membuatkan pendatang merasa dialu-alukan.
Di belakang Indonesia pula ialah Colombia di tempat kedua, manakala Mexico berada di tangga ketiga.

Dalam pada itu, kehadiran Filipina, Thailand dan Vietnam dalam senarai tersebut turut mengukuhkan imej Asia Tenggara sebagai antara rantau yang mempunyai masyarakat paling mesra dan mudah didekati.
Selain itu, negara seperti Brazil, Panama, Oman dan Kenya turut mendapat pengiktirafan kerana budaya masyarakat mereka yang terbuka dan menghargai tetamu.
Perkara yang menarik perhatian ramai ialah Malaysia tidak berada dalam senarai 10 teratas, walaupun negara ini sering menerima pujian daripada pelancong asing kerana masyarakatnya yang berbilang kaum, sopan serta gemar membantu.
Bagaimanapun, ketiadaan Malaysia dalam ranking ini tidak semestinya bermaksud rakyat negara ini tidak mesra.
Perlu difahami bahawa kedudukan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman dan pandangan responden dalam tinjauan Expat Insider 2025.
Walaupun tidak berada dalam kelompok 10 terbaik kali ini, ramai pasti berpendapat Malaysia sebenarnya layak tersenarai sebagai antara negara paling mesra di dunia.
Buktinya, ramai pelancong dan pencipta kandungan antarabangsa sering kali berkongsi pengalaman positif mengenai Malaysia.
Ini termasuk keramahan penduduk tempatan, kemudahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris serta suasana masyarakat majmuk yang unik.
Malah, berdasarkan pelbagai perkongsian pelancong dari seluruh dunia, Malaysia sering dianggap sebagai sebuah negara yang selamat, mesra dan menyenangkan untuk dikunjungi.