Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia Setuju Import Beras, Ayam & Jagung Dari AS
Kerajaan Indonesia telah meluluskan import 1,000 tan beras dan 580,000 ekor ayam dari Amerika Syarikat (AS) melalui perjanjian perdagangan timbal balik antara kedua-dua negara.
Jurucakap Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Haryo Limanesto menyatakan bahawa pembukaan kuota import beras khas itu dibuat dengan peruntukan yang disesuaikan mengikut permintaan dalam negeri.
“Kerajaan bersetuju memberikan peruntukan import bagi beras kategori khas dari AS, namun realisasinya tetap bergantung kepada permintaan dalam negeri,” kata Haryo dalam kenyataan bertulis pada Ahad
Haryo mendakwa komitmen import beras AS agak kecil berbanding pengeluaran beras domestik.
Beliau juga berkata bahawa Indonesia tidak mengimport beras dari AS dalam tempoh lima tahun yang lalu.
"Komitmen untuk mengimport beras dari AS sebanyak 1,000 tan adalah tidak signifikan, hanya mewakili kira-kira 0.00003 peratus daripada jumlah pengeluaran beras negara, yang mencapai 34.69 juta tan pada tahun 2025," ujarnya lagi.
Selain beras, Haryo turut memaklumkan bahawa Indonesia akan mengimport 580,000 ekor ayam dari AS, dengan anggaran nilai sekitar 17 juta hingga 20 juta dolar AS.
Beliau berkata ayam-ayam yang diimport dari AS adalah ayam hidup untuk keperluan ternakan di Indonesia.
“GPS (grand parent stock) sangat diperlukan oleh penternak ayam dalam negara sebagai sumber genetik utama dan setakat ini belum terdapat kemudahan pembiakan GPS di Indonesia,” kata Haryo.
Indonesia turut mengimport antara 120,000 hingga 150,000 tan daging ayam dalam bentuk mechanically deboned meat (MDM) sebagai bahan mentah untuk penghasilan sosej, nugget, bebola daging dan produk berasaskan ayam lain bagi kegunaan industri tempatan.
Sementara itu, import ayam potong dari Amerika Syarikat tidak dilarang, namun tertakluk kepada peraturan dan ketetapan yang berkuat kuasa.
“Import bahagian ayam seperti leg quarters, breasts, legs atau thighs sememangnya tidak dilarang sejak sekian lama, selagi memenuhi syarat kesihatan haiwan, keselamatan makanan, keperluan tertentu serta ketetapan teknikal yang berkuat kuasa,” kata Haryo.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tetap mengutamakan perlindungan penternak tempatan selain memastikan keseimbangan bekalan dan harga ayam di peringkat nasional.
“Tiada sebarang dasar yang mengorbankan industri domestik,” ujar Haryo.
Selain itu, Indonesia turut mengimport jagung dari Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada persetujuan tarif timbal balik antara kedua-dua negara.
Perjanjian tersebut menetapkan bahawa Indonesia memberikan akses import jagung dari AS bagi kegunaan sebagai bahan mentah industri makanan dan minuman dengan jumlah tertentu setiap tahun.
“Keperluan import jagung untuk industri makanan dan minuman pada tahun 2025 dianggarkan sekitar 1.4 juta tan. Produk jagung dari AS mempunyai spesifikasi serta piawaian kualiti yang menepati keperluan industri makanan dan minuman,” kata Haryo.