Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini Cara Nak Beza Cap Jari Masih Elok Atau Rosak

cara beza cap jari rosak
Gambar hiasan. Kredit: Bernama

Ini Cara Nak Beza Cap Jari Masih Elok Atau Rosak

Cap jari merupakan antara ciri paling penting dalam pengenalan identiti seseorang.

Sejak dahulu lagi, cap jari digunakan dalam pelbagai urusan rasmi kerana setiap individu mempunyai corak cap jari yang unik dan sukar ditiru.

Hari ini, cap jari bukan sekadar digunakan dalam siasatan jenayah atau keselamatan. Cap jari juga menjadi sebahagian daripada data penting dalam kad pengenalan serta pelbagai sistem biometrik moden.

Gambar hiasan. Kredit: Bernama

Di kebanyakan negara, termasuk Malaysia, cap jari digunakan dalam pengesahan identiti pelbagai urusan seperti imigresen, keselamatan dan pengesahan akses.

Teknologi ini memudahkan proses pengenalan individu dengan lebih pantas dan tepat.

Namun, tidak semua orang mempunyai cap jari yang sentiasa jelas dan mudah dibaca. Sesetengah keadaan, cap jari tidak dapat dibaca berikutan sudah rosak atau berubah disebabkan faktor tertentu, terutamanya masalah pada kulit.

Pasti ada antara korang yang pernah alami situasi cap jari tak dapat dibaca ketika mengimbas pintu masuk pejabat atau telefon pintar.

Berikut min kongsikan antara faktor dan cara untuk korang bezakan cap jari yang rosak atau tak.

Faktor Cap Jari Rosak

Menurut sebuah kajian berkaitan cap jari, terdapat beberapa penyakit kulit yang boleh menjejaskan corak cap jari seseorang.

Antara penyakit yang dikenal pasti termasuk acrodermatitis, ekzema atopik, psoriasis dan verruca vulgaris (ketuat biasa).

Penyakit seperti ekzema dan psoriasis boleh menyebabkan kulit menjadi kering, merekah atau bersisik. Keadaan ini berpotensi mengganggu struktur semula jadi garisan cap jari pada hujung jari.

Kredit: Threads JPNWKL

Selain itu, ketuat juga boleh menjejaskan permukaan kulit pada jari dengan menyebabkan berlaku perubahan bentuk pada kawasan tertentu sehingga corak cap jari menjadi tidak sekata.

Dalam kes tertentu, keradangan pada hujung jari akibat penyakit seperti acrodermatitis turut boleh mengubah struktur garisan cap jari.

Perubahan ini boleh menyebabkan cap jari anda menjadi sukar dikesan oleh sistem biometrik.

Persoalannya, bagaimana sebenarnya kita boleh mengenal pasti sama ada cap jari sudah rosak atau masih dalam keadaan baik?

Cara Nak Tahu Cap Jari Rosak Atau Tidak

Salah satu tanda utama cap jari rosak ialah apabila garisan halus pada cap jari kelihatan tidak sekata. Cap jari normal biasanya mempunyai garisan yang kelihatan jelas dan bersambung dengan baik.

Contoh imej orientasi blok (kiri: cap jari sihat, tengah: cap jari yang terjejas akibat penyakit kulit, kanan: kawasan kerosakan yang dikesan). Kredit: Stepanka Barotova and Martin Drahansky

Sebaliknya, cap jari yang rosak mungkin menunjukkan garisan yang terputus-putus atau tidak selari antara satu sama lain.

Keadaan ini menunjukkan terdapat gangguan pada struktur asal cap jari.

Selain itu, kawasan tertentu pada cap jari mungkin kelihatan berbeza daripada bahagian lain. Contohnya, terdapat tompok atau garisan luar biasa yang tidak menyerupai corak asal.

Kajian juga menunjukkan bahawa cap jari rosak boleh mempunyai ciri seperti tompok putih besar, garisan putih tebal atau tompok gelap kecil.

Pengekstrakan garisan putih lurus. Kredit: Stepanka Barotova and Martin Drahansky

Perubahan ini menandakan terdapat kerosakan pada permukaan kulit hujung jari.

Dalam sistem digital, cap jari yang rosak biasanya menghasilkan imej yang tidak sekata atau berkualiti rendah. Keadaain ini boleh menyebabkan mesin sukar mengenal pasti corak sebenar cap jari seseorang.

Walaupun teknologi semakin canggih, keadaan kulit tetap memainkan peranan penting dalam memastikan cap jari dapat dibaca dengan jelas.

Semoga bermanfaat.