Waktu solat bangunan tinggi sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam yang bekerja atau menetap di aras atas pencakar langit, khususnya melibatkan penentuan masuknya waktu Maghrib dan Subuh.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk berbuka puasa dengan mendengar laungan azan yang menandakan masuk waktu Magrib.
Bagi mereka yang berada berjauhan dengan masjid atau surau, penentuan masuknya waktu Magrib adalah berdasarkan hukum syarak.
Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dalam satu kenyataan, waktu ibadah bergantung kepada pandangan sendiri.
“Waktu Magrib dan berbuka puasa hanya sah apabila matahari hilang sepenuhnya dari pandangan mata individu tersebut,” jelas kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.
Namun, bagaimana pula dengan mereka yang berada di bangunan tinggi seperti Menara Merdeka 118? Atau Menara Tun Razak Exchange (TRX) yang mencapai setinggi 450 meter?
Sudah tentu laungan azan sukar untuk kedengaran dengan jelas di atas sana.
Bagi menjawab persoalan ini, min kongsikan dengan anda panduan waktu solat yang disiarkan oleh JMWP.
Panduan waktu solat di bangunan tinggi Wilayah Persekutuan
Pertama sekali, penting untuk pembaca tahu sebab berlakunya perbezaan waktu solat apabila berada di paras ketinggian berbeza.
“Di aras tinggi, matahari terbenam lebih lewat. Garis ufuk kelihatan lebih rendah dari tempat tinggi menyebabkan matahari masih dapat dilihat,” hurai kenyataan tersebut.
Berikutan itu, jabatan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mengeluarkan satu panduan yang melaraskan waktu solat.
Penetapan panduan tersebut dimaklumkan adalah berdasarkan kajian cerapan, pengiraan dan analisis teknikal.
“Pelarasan ini dilaksanakan dengan penuh berhati-hati (ihtiyat), di samping mengambil kira perbezaan masa sebenar antara aras ketinggian tinggi dan aras bawah.
“Ketetapan ini juga bertujuan membantu penghuni, pekerja, serta pihak pengurusan bangunan memastikan waktu solat dipatuhi dengan tepat, selaras dengan panduan syarak dan kemajuan teknologi,” tambah JMWP.
Bagi menentukan waktu Magrib, tiga minit perlu ditambah daripada waktu solat rasmi manakala bagi waktu Syuruk, tiga minit perlu ditolak daripada waktu solat rasmi.


