Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat serta merosakkan pegangan akidah umat Islam di negara ini.
Mufti Wilayah Persekutuan Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan al-Sunnah, ijmak ulama serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras umat Islam di Malaysia.
JAWI tentang sekeras-kerasnya usaha gugat pegangan akidah umat Islam di Malaysia
“Sehubungan itu, JWMP menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa supaya berpegang teguh kepada fatwa-fatwa yang telah diputuskan berkaitan pegangan akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran yang diragui kesahihannya.
“Dalam masa sama, JMWP ingin mengingatkan masyarakat agar merujuk sebarang kemusykilan berkaitan akidah kepada badan-badan agama yang berautoriti dan tidak bertindak secara melulu sehingga mengganggu-gugat ketenteraman awam serta keharmonian sejagat,” katanya.

Menurut beliau lagi, JMWP akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membanteras sebarang tindakan yang boleh memesongkan akidah umat Islam.
“Akidah yang sahih adalah tunjang kekuatan umat. Memeliharanya adalah tanggungjawab bersama.”

