Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Iran Ikrar Bina Semula Tapak Nuklear ‘Lebih Kuat Daripada Sebelumnya’
Iran berikrar untuk membina semula tapak nuklearnya yang rosak akibat serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan ‘lebih kuat daripada sebelumnya’.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semasa lawatan ke agensi nuklear negara itu berkata, serangan yang berlaku tidak akan melemahkan semangat atau kemajuan program nuklear Iran.
“Dengan memusnahkan bangunan, kita tidak akan berundur. Kita akan bina semula tapak-tapak itu lebih kukuh daripada sebelumnya,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan di laman web rasminya.
Tidak berhenti di situ, beliau juga menegaskan bahawa saintis Iran masih memiliki kepakaran nuklear yang diperlukan.
Bagaimanapun, Pezeshkian tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai rancangan pembinaan semula tersebut. Sebelum ini, pada Februari lalu, beliau pernah menegaskan bahawa Iran akan membina semula tapak nuklearnya sekiranya diserang.
Israel telah melancarkan siri pengeboman besar-besaran terhadap Iran pada Jun lalu, mencetuskan perang selama 12 hari yang menyasarkan kemudahan nuklear, pangkalan tentera serta kawasan kediaman. Insiden tersebut sekali gus mengorbankan beberapa saintis kanan negara itu.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu balistik ke arah bandar-bandar Israel.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam kenyataannya pada Julai lalu selepas AS mengumumkan gencatan senjata, mengakui bahawa kerosakan akibat serangan itu adalah serius dan teruk.
Sementara itu, Oman, yang sering bertindak sebagai perantara antara Iran dan AS, menggesa kedua-dua negara supaya kembali ke meja rundingan.
“Kami mahu rundingan antara Iran dan AS disambung semula,” kata Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, semasa Persidangan IISS Manama Dialogue di Bahrain pada Sabtu.
Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani, turut mengesahkan bahawa Teheran telah menerima mesej berkaitan usaha menyambung semula diplomasi. Namun, tidak memberikan perincian lanjut.
Oman dilaporkan telah menganjurkan lima pusingan rundingan antara Iran dan AS tahun ini. Namun, hanya tiga hari sebelum pusingan keenam dijadualkan, Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran.
Sejak itu, Iran berdepan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Britain, Jerman dan Perancis mengaktifkan mekanisme “snapback” berhubung dakwaan bahawa Teheran gagal mematuhi perjanjian nuklear 2015.
Sumber: AFP