Iran Kata Kapal Bukan Musuh Boleh Lalui Selat Hormuz - IMO
Iran memaklumkan kapal-kapal yang 'tidak bermusuhan' boleh melintasi Selat Hormuz jika ia mematuhi peraturan keselamatan dan sekuriti dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Memetik AFP, kenyataan itu dikeluarkan kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
“Kapal-kapal yang tidak bermusuhan.. boleh. Dengan syarat tidak terlibat atau menyokong sebarang tindakan agresif terhadap Iran dan mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan serta sekuriti yang ditetapkan, mendapat manfaat daripada laluan selamat melalui Selat Hormuz dengan kerjasama pihak berkuasa yang berwibawa,” kata kenyataan itu.

IMO pada Selasa memaklumkan bahawa kenyataan yang bertarikh 22 Mac itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran dengan permintaan supaya ia diedarkan oleh IMO.
Badan itu turut berkongsi kenyataan berkenaan dengan negara anggota dan NGO.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa peralatan kapal dan sebarang aset milik pihak yang dianggap penyerang iaitu Amerika Syarikat dan Israel serta pihak lain yang terlibat dalam tindakan agresif tidak layak untuk melalui selat penting itu.
Iran menyatakan bahawa tanggungjawab terhadap sebarang gangguan, ketidakstabilan atau peningkatan risiko di laluan perairan kritikal ini terletak pada Amerika Syarikat dan Israel, yang dituduh melancarkan perang tidak sah dan menggugat kestabilan terhadap Iran.
Menurutnya, kedua-dua negara tersebut telah membahayakan keamanan dan kestabilan serantau serta mendedahkan perkapalan antarabangsa kepada ancaman yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Sebelum ini, Iran dilaporkan hampir menutup Selat Hormuz yang penting sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mencetuskan perang pada 28 Februari, sekali gus menyebabkan harga minyak dan gas global melonjak tinggi.
