Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jangan Buang Lebihan Roti, Boleh Cuba Buat Puding Lapis Perancis

puding lapis perancis
Kredit: Wanda Kitchen

Jangan Buang Lebihan Roti, Boleh Cuba Buat Puding Lapis Perancis

Roti merupakan antara makanan asas yang mudah didapati dan sering menjadi salah satu pilihan harian masyarakat.

Bukan itu sahaja, kebiasaannya, ia sering dijadikan sebagai pilihan sebagai menu ringkas dan cepat apabila seseorang itu ingin mengalas perut sebelum memulakan hari.

Namun begitu, biasanya sebungkus roti yang dibeli itu pasti akan tersisa beberapa keping sebelum menjelang tarikh luput.

Jadi, daripada anda membuang roti tersebut, anda boleh mencuba untuk mengolah ia menjadi satu pencuci mulut yang ringkas dan menyelerakan.

Oleh itu, artikel kali ini akan berkongsi cara untuk membuat puding lapis Perancis menggunakan roti.

Resipi ini telah dikongsi oleh Wanda Kitchen di laman Facebook miliknya.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Bahan-bahan puding lapis perancis

Bahan-bahan karamel

  • 120g gula pasir

  • 500ml air

  • Satu bungkus serbuk agar-agar

Bahan-bahan untuk lapisan roti

  • Empat keping roti

  • 120g gula pasir

  • Tiga butir kuning telur

  • 40g susu pekat

  • 1/2 sudu teh vanila

  • 1/2 sudu teh garam

  • Satu bungkus serbuk agar-agar

  • 800ml susu cair

  • Serbuk coklat

Cara penyediaan

Mula-mula, sediakan dahulu bahan untuk karamel anda. Panaskan gula pasir sehingga ia cair. Kemudian, tambahkan air sedikit demi sedikit dan kacau sehingga ia melarut.

Seterusnya, masukkan serbuk agar-agar dan aduk rata. Selepas itu, anda boleh sediakan loyang berukuran 20cm dan tuangkan gula karamel tadi lapisan demi lapisan dan biarkan sehingga ia mengeras.

Sementara itu, anda boleh sediakan bahan untuk lapisan puding roti. Mula-mula, potong kepingan roti kepada saiz kecil.

Selepas itu, masukkan ia ke dalam pengisar bersama dengan gula pasir, kuning telur, serbuk agar-agar, susu pekat, susu cair, vanila dan garam.

Kisar sehingga ia halus dan membentuk satu adunan. Setelah selesai dikisar, anda boleh tuangkan adunan tersebut ke dalam periuk dan masak sehingga ia mendidih.

Ingat, pastikan anda terus kacau adunan tersebut. Selepas adunan anda mula mendidih dan sedikit kental, anda boleh tutupkan api.

Kemudian, anda boleh ambil adunan tersebut dan lapiskan ia ke atas gula karamel tadi sehingga ia merata. Taburkan pula serbuk coklat di atas adunan tadi dan ulang proses yang sama sehingga adunan anda habis.

Terakhir, tuang lapisan atas dengan karamel dan biarkan ia sejuk. Sekiranya puding anda sudah sejuk, selitkan lidi di antara puding dan loyang bagi memudahkan ia dikeluarkan.

Puding lapis Perancis anda siap untuk dihidang. Lapisan antara gula karamel dan adunan roti tadi sudah tentu akan menghasilkan bentuk yang sangat cantik.

Jangan lupa untuk cuba resipi ini di rumah. Untuk melihat cara penyediaan dengan lebih jelas, anda boleh tonton video di bawah ini.