Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jangan Persoal KKDW, Fahami Dahulu Tatacara Kewangan Negara - Akmal Saleh

KKDW
Kredit: Bernama

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan tindakan Penasihat DAP, Lim Guan Eng membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu percanggahan perbelanjaan membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurut Dr Muhamad Akmal, nilai percanggahan RM2.1 bilion yang dibangkitkan itu merupakan peruntukan tambahan yang telah diselaraskan dan diluluskan Kementerian Kewangan kepada KKDW.

Beliau berkata, KKDW dalam perkara berkenaan bertindak sebagai kementerian penyelaras bagi pelaksanaan peruntukan yang telah diluluskan.

“Persoalan sebenar yang perlu dijawab ialah: projek telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan, tetapi mengapa peruntukan yang telah diluluskan itu tidak disalurkan kepada KKDW untuk membolehkan bayaran dibuat kepada kontraktor?

“Untuk makluman MP2 (Ahli-ahli Parlimen), dalam tatacara kewangan kerajaan, sesebuah kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan tanpa peruntukan dan kelulusan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa kewangan,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan beberapa Ahli Parlimen DAP kepada SPRM bagi menggesa siasatan terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu berkenaan.

Laporan itu dibuat di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan antara perkara yang dibangkitkan ialah perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan dan perbelanjaan bagi Program Jalan Luar Bandar di bawah KKDW.

Dr Muhamad Akmal berkata, sekiranya benar terdapat isu atau salah laku dalam perkara tersebut, siasatan perlu dijalankan dan fakta berkaitan perlu didedahkan.

Bagaimanapun, katanya, perkara lebih penting ialah memahami dengan jelas pihak yang meluluskan peruntukan, mengeluarkan SST serta bertanggungjawab menyalurkan wang dan pada peringkat mana proses berkenaan terhenti.

“Jangan akhirnya KKDW dipersoalkan mengenai wang yang telah diluluskan tetapi tidak pernah sampai kepada kementerian untuk dibayar.

“Kalau mantan Menteri Kewangan sendiri tidak memahami tatacara kewangan negara yang berlaku ketika di bawah pentadbirannya, maka tidak hairanlah rakyat tertanya-tanya bagaimana pengurusan kewangan negara ketika itu boleh menjadi begitu bercelaru.

“Kesian negara ada MP yang masih lagi tidak faham tatacara kewangan negara,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan akan menyiasat dakwaan berhubung perbelanjaan RM2.1 bilion itu sekiranya menerima aduan rasmi. Pada 6 Oktober, laporan rasmi berhubung perkara tersebut telah dibuat oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.