Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jemaah Di Sekolah Pondok Dirikan Solat Tarawih Selama 8 Jam, Khatam 30 Juzuk
Jemaah di Sekolah Pondok Al Fatah Temboro, Magetan, Jawa Timur sekali lagi menjadi perhatian apabila menunaikan solat Tarawih selama lapan jam bagi mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran dalam satu malam.
Menurut portal Berita Jatim, selain menunaikan solat Tarawih 20 rakaat yang disusuli tiga rakaat witir, sekolah pondok berkenaan turut menyediakan pilihan Tarawih dengan bacaan bermula satu juzuk sehingga 30 juzuk setiap malam.
Difahamkan, ia mengikut kemampuan dan kesediaan jemaah.
Ketua Madrasah Al Fatah Temboro, Ustaz Barli Musyaddad, menjelaskan bahawa pelaksanaan solat Tarawih dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan diikuti tiga rakaat solat witir.
“Jumlah keseluruhannya ialah 20 rakaat Tarawih ditambah tiga rakaat witir, menjadikannya 23 rakaat
"Bagi pilihan bacaan pula, jemaah boleh memilih daripada satu juzuk hingga 30 juzuk setiap malam
"Ini bermakna setiap malam khatam satu al-Quran, tetapi bacaan tetap dilakukan secara tartil dengan tajwid yang betul,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa bacaan al-Qur’an tidak boleh tergesa-gesa sehingga mengabaikan kaedah yang betul.
Waktu minimum yang ditetapkan untuk membaca satu juzuk di luar solat ialah 30 minit, bagi memastikan sebutan dan hukum tajwid dilakukan dengan tepat tanpa kesilapan.
Bagi Tarawih satu juzuk, seorang imam memimpin sepenuhnya sepanjang malam.
Sementara untuk Tarawih 30 juzuk, enam imam bertugas secara bergilir bagi memastikan kualiti bacaan al-Qur’an terjaga.
Selain pilihan 30 juzuk, sekolah pondok itu turut menyediakan halaqah dengan bacaan 15 juzuk, 10 juzuk, 5 juzuk hingga satu juzuk setiap malam.
Secara keseluruhan, jumlah halaqah Tarawih di pesantren tersebut dianggarkan mencapai sekitar 100 halaqah setiap malam.
Mengenai kelayakan menjadi imam Tarawih 30 juzuk, Ustaz Barli menegaskan bahawa imam mesti seorang hafiz al-Qur’an yang lancar dan telah melalui proses penyimakan hafalan secara intensif selama kira-kira seminggu penuh.
Dengan sistem pemilihan yang ketat dan pembahagian halaqah yang teratur, Sekolah Pondok Al Fatah Temboro berusaha mengekalkan kualiti bacaan al-Qur’an sambil menyediakan pelbagai pilihan ibadah Ramadan bagi para pelajar dan jemaah.