Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jerebu: IPU Di Serian Kembali Ke Tahap Bahaya Pagi Ini

IPU Di Serian
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kualiti udara di Serian, Sarawak kembali ke tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 302, pagi ini.

Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat jerebu di seluruh bahagian Serian susulan pencemaran udara yang membahayakan kesihatan awam, sebelum pengisytiharan itu ditamatkan semalam

Sementara itu, menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) pagi ini, tiga kawasan di Sarawak merekodkan status bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching (243), Samarahan (237) dan Sri Aman (232).

Beberapa kawasan lain di negeri itu turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat antaranya Mukah (184), Sarikei (183), Samalaju (178), Bintulu (170), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (169), Miri (169) dan Sibu (166).

Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi bagi negeri itu dengan IPU 168, diikuti Shah Alam (165), Banting (159), Klang (156), Petaling Jaya (154) dan Kuala Selangor (152).

Turut mencatatkan status tidak sihat ialah Tasek Ipoh (162), Seri Manjung (159), Tanjung Malim (156) dan Pegoh Ipoh (152) di Perak, manakala di ibu negara melibatkan Batu Muda (157), Cheras (154) selain Putrajaya (155).

Kawasan lain yang berada pada tahap sama ialah Nilai (157) dan Seremban (153) di Negeri Sembilan; Bukit Rambai (149) serta Alor Gajah (144) di Melaka; Labuan (128); dan Segamat, Johor (106).

Secara keseluruhan, 37 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala dua kawasan mencatatkan bacaan baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Intipati
  • Serian kembali mencatatkan IPU berbahaya 302 di stesen pemantauan IPD pagi ini.
  • Kuching, Samarahan dan Sri Aman merekodkan bacaan sangat tidak sihat, menurut portal APIMS.
  • Sebanyak 37 kawasan seluruh negara berada pada tahap sederhana, manakala dua mencatatkan bacaan baik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan