Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPNT Pandang Serius Insiden Pelajar Alami Simptom Dehidrasi Selepas Merentas Desa

BERNAMA
pelajar dehidrasi merentas desa
Kredit: Bernama

JPNT Pandang Serius Insiden Pelajar Alami Simptom Dehidrasi Selepas Merentas Desa

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memandang serius insiden tiga pelajar dari sebuah daerah di negeri ini yang dilaporkan mengalami keletihan dan simptom dehidrasi selepas menyertai aktiviti merentas desa semalam.

JPNT dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) daerah telah diminta melakukan semakan dan siasatan berhubung insiden itu serta segera menyerahkan laporan kepada jabatan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak sekolah juga telah mengambil tindakan segera dengan membawa pelajar terbabit ke hospital untuk pemeriksaan lanjut serta memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa masing-masing.

“Seorang daripada tiga murid tersebut telah dipindahkan ke Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan atas kehendak ibu bapa dan keadaannya sangat stabil.

“Seorang lagi pelajar telah dimasukkan tiga botol air (drip) dan dibenarkan pulang semalam manakala pelajar ketiga hanya menjalani pemeriksaan tanpa rawatan,” menurut kenyataan tersebut.

JPNT juga memaklumkan suhu semasa aktiviti merentas desa itu berlangsung adalah antara 28 hingga 30 darjah Celsius dan semua aktiviti berakhir pada 10.30 pagi.

Justeru, jabatan itu mengingatkan semua pentadbir sekolah supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti luar bilik darjah yang berkaitan guru dan murid, dengan menyediakan khidmat pasukan penyelamat seperti Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Pihak sekolah juga perlu sentiasa mematuhi peraturan dan mengikut siaran semasa berkenaan tahap cuaca serta suhu di kawasan masing-masing melalui portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum melakukan sebarang aktiviti,” menurut kenyataan itu.

Semalam tular di media sosial video yang mendakwa tiga pelajar di sebuah sekolah di Terengganu dikejarkan ke unit kecemasan sebuah hospital akibat terkena strok haba selepas menyertai program sekolah.